Kualiti udara di Seberang Jaya catat bacaaan tidak sihat
Astro Awani
Oktober 11, 2014 19:28 MYT
Oktober 11, 2014 19:28 MYT
Di Pulau Pinang, kualiti udara dibeberapa kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat sehingga jam 4 petang tadi.
Keadaan berjerebu yang agak tebal pada tengah hari menyebabkan beberapa mercu tanda Pulau Pinang seperti Bangunan Tun Abdul Razak (Komtar) dan Jambatan Pulau Pinang tidak kelihatan.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Seberang Jaya 2, merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat pada jam 12 tengah hari tadi dengan bacaan 108 manakala USM 105 dan Perai 91.
Pada sebelah petangnya pula, tahap bacaan IPU masih mencatat bacaan tinggi iaitu 103 di Seberang Jaya 2, manakala dua lagi kawasan bacaan IPU semakin menurun iaitu di Perai bacaan IPU 83 dan USM 96.
Bacaan IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya).
Sementara itu, laman sesawang Jabatan Meteorologi pula menunjukkan jarak penglihatan di Bayan Lepas pada jam 8 pagi ialah 2km, masing-masing 3km di Butterworth dan 4km di Prai.
Pada jam lima petang, jarak penglihatan bertambah baik di Bayan Lepas dengan jarak penglihatan mencatat bacaan 5km dan bacaan di Butterworth dan Prai kekal dengan 3km dan 4km.
Walau bagaimanapun, bacaan setakat jam 8 malam, bacaan IPU di Seberang Perai kembali kepada tahap sederhana iaitu 87.