Kualiti peserta Debat MRSM Se-Malaysia Piala TPM 2024 meningkat ketara
Astro Awani
Jun 11, 2024 12:40 MYT
Jun 11, 2024 12:40 MYT
TROLAK: Kualiti lebih 500 pendebat yang mengambil bahagian dalam Debat MRSM Se-Malaysia Piala Timbalan Perdana Menteri (TPM) 2024 telah meningkat dengan begitu ketara sekali.
Ringkasan AI
- Kualiti lebih 500 pendebat dalam Debat MRSM Se-Malaysia Piala TPM 2024 telah meningkat dengan ketara, mendorong cadangan untuk melibatkan pemenang dalam pertandingan peringkat universiti dan antarabangsa.
- Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menyokong penuh usul tersebut dan berharap MARA dapat menyediakan peruntukan untuk menghantar pelajar-pelajar dan pendebat-pendebat untuk bertanding di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
- Program debat dipandang baik sebagai budaya dalam kehidupan pelajar untuk memastikan mereka mempunyai nilai dan kekuatan pemikiran yang kreatif dan kritis, sambil menitikberatkan pada adab berbicara dan akhlak yang baik.
Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menganjurkan agar pemenang debat diberi pendedahan dalam pertandingan di peringkat universiti, termasuk di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, beliau telah memakluman perkara itu kepada pihak pengurusan MARA.
“Hari ini bahasa Melayu makin diantarabangsakan dan bahasa Inggeris sudah tentu, begitu juga bahasa Arab.
“Jadi saya sendiri sebagai Pengerusi MARA akan memberikan sokongan dan dukungan penuh.
“Kalau perlu kita menyediakan peruntukan untuk kita menghantar pelajar-pelajar dan pendebat-pendebat kita untuk bertarung di peringkat ASEAN mahupun di peringkat antarabangsa, itu pasti akan kita lakukan,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Debat MRSM Se-Malaysia TPM 2024 di MRSM Felda, Trolak, pada Isnin.
Lebih 500 pendebat dari 57 MRSM seluruh negara mengambil bahagian dalam tiga kategori dipertandingkan iaitu Debat Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Menurutnya, program debat sangat baik untuk menjadi budaya dalam kehidupan pelajar, terutamanya untuk memastikan generasi akan datang mempunyai nilai dan kekuatan dari segi pemikiran, bukannya seperti robot bernyawa.
“Perlu ada satu suatu keupayaan untuk berhujah dan mentelaah sesuatu perkara di samping memberikan pandangan balas dengan penuh kritis, kreatif, inovatif dan dengan adab berbicara yang baik.
“Ini antara ciri-ciri ketamadunan dalam konteks itu bahkan dalam al-Quran sendiri menyebut banyak tempat di mana aspek debat, perbahasan ini adalah salah satu daripada aspek yang diberikan penekanan tetapi mestilah dalam kerangka adab dan juga akhlak yang baik,” ujarnya.
Antara rakan strategik terlibat dalam program debat itu termasuk Muafakat MARA Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta penaja seperti Affin Bank, SEDA, CelcomDigi, FELDA, Bank Simpanan Nasional, Mahir Publisher, FELCRA, dan MALAKOFF.
Menurut Asyraf Wajdi, bilangan penaja yang semakin bertambah menunjukkan mereka juga mengambil tanggungjawab sosial untuk melahirkan generasi berkualiti, bukan sahaja dari segi pendidikan, tetapi juga sahsiah dan pemikiran.
“Ini penting juga untuk mereka pada masa akan datang untuk mengambil pekerja-pekerja yang mempunyai ketrampilan tinggi, bukan saja dari segi kemahiran teknologi sahaja tetapi juga mempunyai keupayaan untuk berhujah, berfikir secara kreatif dan inovatif,” tambahnya.
Beliau turut yakin, dengan komitmen semua pihak, khususnya daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, program debat itu akan terus dipertingkatkan di masa akan datang.
“Bagi saya komitmen YAB Timbalan Perdana Menteri sendiri secara peribadi telah merubah imej piala ini dan beliau sendiri memberikan sumbangan peribadinya untuk memastikan masa depan debat di peringkat MRSM ini dapat kita pertingkatkan.
“Saya juga lihat ini satu keazaman dan iltizam kita untuk melahirkan generasi pelajar Madani yang bukan saja hebat dari segi pendidikan dan juga kemahiran-kemahiran tertentu, ataupun subjek-subjek teknologi, kejuruteraan dan sebagainya, tetapi mereka juga mempunyai keupayaan sebagai pemimpin masa depan,” kata beliau.