Kualiti pendidikan: Sejauh mana kaedah pedagogi, pemikiran kritikal didedahkan kepada pelajar?
Fareez Azman
Februari 9, 2022 18:30 MYT
Februari 9, 2022 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kemahiran berfikir secara kritikal perlu didedahkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutama seawal di peringkat tadika.
Menurut Pengasas Skolar Malaysia, Mohammad Tazli Azizan, kaedah terbabit dapat membantu mengasah kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan kanak-kanak dan peringkat sekolah.
"Isu berkaitan pendidikan di Malaysia dari segi kualiti, ada banyak aspek. Dari segi kualiti pendidikan, kita kena tengok, antara perkara saya sangat fokus adalah kualiti pengajaran dan pembelajaran.
"Disebabkan ini, kita nak lahirkan generasi masa depan yang menyelesaikan masalah yang kita sendiri tak tahu. Maka, antaranya adalah kemahiran berfikiran kritikal, menyelesaikan masalah, kolaborasi dan komunikasi.
"Aspek itu perlu ditekankan sejak tadika lagi sampai ke universiti. Tetapi apabila kita terlalu terikat dengan (orientasi) berasaskan peperiksaan, (walaupun) ia penting, akan tetapi ia menjadi satu ukuran dan bukan sebagai satu end result (hasil akhir)," jelasnya.
Jangan terikat peperiksaan
Tambah Mohammad Tazli, pendidikan tidak seharusnya terikat dengan peperiksaan sebagai penanda aras kepada pelajar.
Sebaliknya, pelbagai aspek perlu diterapkan dalam kalangan pelajar.
"Apa yang berlaku sekarang, pendidikan disusun, keputusannya terhadap peperiksaan, tetapi banyak lagi aspek kita kena cuba selesaikan dan atasi.
"Contohnya, kemahiran berfikiran kritikal. Dalam keadaan sekarang, bila kita dapat maklumat, macam mana kita cuba terima (memproses sama ada) infomasi ini benar atau salah. Rata-rata kita menghadapi masalah dan jadi terlalu bias," jelasnya lagi.
Menurutnya, pelajar yang tidak didedahkan dengan kaedah itu dilihat kurang kemahiran penilaian dan penentusahan maklumat, meskipun ciri itu amat penting dalam melahirkan pelajar berkemahiran tinggi.
"(Mereka) tak boleh buat penilaian, verifikasi dahulu sama ada maklumat itu betul atau salah... itu antara perkara yang kita kena cuba selesaikan dalam pendidikan kita.
"Kadang-kadang kita tengok agenda dibuat di peringkat kementerian iaitu kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Ini bukan sahaja kemahiran yang anak-anak perlukan, dalam kalangan ibu bapa pun perlukan kemahiran ini. Ia menyebabkan kita didepani lambakan maklumat dan sebagainya.
"Kalau kita tidak mempunyai kemahiran ini, dan tidak mempelajarinya, kita sendiri akan berhadapan dengan masalah untuk membantu anak-anak kita di rumah," ujarnya lagi.
Kemahiran berfikir aras tinggi
Mengulas lanjut berkenaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), tambah Dr Mohammad Tazli, ibu bapa juga perlu didedahkan dengan kemahiran terbabit.
Malah KBAT juga jelasnya boleh dilakukan di rumah dan bukannya di sekolah semata-mata.
"Sebenarnya teknik melakukan KBAT ini di rumah tak susah. Ibu bapa kena belajar, tidak letak 100 peratus kepada pihak sekolah.
"Sama juga berlaku di peringkat universiti. Kadangkala pelajar masuk kuliah tak faham apa pensyarah cakap.
"Tapi sebenarnya apa yang perlu dilakukan kaedah fasilitasi. Kita kena bantu pelajar, mereka ialah generasi akan datang. Kalau nak bangunkan negara, inilah generasi yang kita kena pupuk," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.
Penguasaan bahasa Inggeris
Dalam pada itu, selain daripada kemahiran terbabit, tambah Mohamad Tazli, penguasaan bahasa Inggeris di peringkat awal pendidikan sehingga universiti juga amat penting.
Bagaimanapun, teknik pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan, dilihat tidak terlalu terbuka untuk pelajar berlatih menguasai bahasa berkenaan.
"Apa yang perlu ditekankan bukan sahaja bahasa, tapi dalam bentuk tulisan, penyataan dan komunikasi. Apa yang berlaku dalam kelas kaedah pengajaran sehala, ia menyebabkan pelajar tidak dapat berlatih berkomunikasi dalam kelas, jadi ada kaedah pedagogi perlu diajar di dalam kelas... akan tetapi ada juga satu isu.
"Kadangkala, apabila kita sebutkan kaedah pedagogi di dalam kelas atau universiti, pensyarah meluaskan rasa lelah bila terlibat dalam KPI yang lain, bersifat mengganggu mereka mendalami lebih dalam aspek pedagogi tersebut," jelasnya lagi.
Tambahnya, meskipun terdapat beberapa universiti memberi pendedahan kaedah pedagogi kepada pensyarah, namun ia perlu lebih diperluas.
"Pensyarah ini diambil bekerja di universiti, mereka tidak dinilai pengetahuan mereka tentang pedagoji, bila mereka masuk pengetahuan memang zero.
"Ada universiti membuat inisiatif baik mendedahkan pensyarah dengan kaedah tersebut, tapi tidak banyak insentif kepada mereka untuk mengubah kaedah pembelajaran mereka dalam kelas.
"Itu satu perkara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kena tengok nak meraikan pensyarah ini, ada sesetengah pensyarah memang minat dalam teaching and learning dan mereka inilah diberikan tumpuan. Jadi mereka dapat bantu pelajar kita lebih berjaya dan memahami apa dipelajari," katanya lagi.