Kualiti laporan, ketelusan, cabaran utama dalam mengekalkan kepercayaan terhadap media
Madiha Abdullah
Jun 16, 2022 19:05 MYT
Jun 16, 2022 19:05 MYT
KUALA LUMPUR: Media kini berhadapan dengan cabaran penggunaan atau consumption yang semakin berubah, sekali gus memberi impak kepada bagaimana laporan berita dipersembahkan kepada umum.
Namun dalam masa yang sama, situasi ini juga memberi kesan kepada kualiti pelaporan berita, yang pada akhirnya akan memberi gambaran sejauh manakah tahap kepercayaan terhadap agensi media.
Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Wathshlah G Naidu berkata, ketelusan laporan berita memainkan peranan dalam memberi keyakinan orang ramai terhadap media, namun bagi penggiat industri media, ia juga satu cabaran terutama sekali dengan pelbagai akta dan enakmen yang mencakupi tugas seorang wartawan.
"Semua ini menyumbang kepada kualiti kewartawanan. Dan kerana kualiti tercabar, kerana adanya berat sebelah pada masa-masa tertentu sehingga memberi kesan kepada kepercayaan, untuk menukar dan mendapatkan semula kepercayaan penonton, itu memerlukan cara berbeza.
"Kita juga melihat situasi di mana undang-undang yang menindas atau undang-undang yang menyekat, digunakan terhadap media. Jadi media, kerana mereka sangat takut, undang-undang ini terutamanya Akta Komunikasi dan Multimedia Seksyen 223, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan ada juga Akta Hasutan, yang menyumbang kepada ketakutan ini, mereka mula membuat tapisan sendiri.
"Apabila ini kerap berlaku, maka kebergantungan khalayak terhadap media tertentu berkurangan. Penonton, terutamanya generasi baharu, mereka mencari sumber maklumat di platform yang berbeza.
"Dan di sinilah, platform seperti media sosial, platform mesej, malah juga sumber muzik telah berubah. Untuk hiburan kita akan cari Netflix, Amazon Prime, Spotify, bukan lagi radio. Oleh itu, kita perlu mencari cara yang berbeza untuk membina semula kepercayaan," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Khamis.
Justeru, Wathshlah melihat keperluan sektor media melihat kembali kepada peranan mereka dan dalam masa yang sama, peka dengan perubahan dan kehendak khalayak.
"Saya fikir apa yang perlu kita lakukan ialah kita perlu membayangkan semula media, terdapat penguasaan besar kumpulan media tertentu di Malaysia, yang perlu juga ditangani. Juga platform, kita perlu mempertimbangkan penggunaan pelbagai platform sekarang.
"Orang ramai kini lebih visual. Mereka lebih tertarik dengan TikTok dan Instagram. Jadi kita perlu memikirkan semula bagaimana berita disampaikan, bagaimana maklumat itu disampaikan.
"Kita juga perlu melihat situasi capaian internet yang meluas di Malaysia. Tetapi ini bermakna kita perlu memiliki infrastruktur yang sangat baik untuk memecahkan jurang digital.
"Selain itu, perkara kedua yang sangat kritikal dalam mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk media ialah perubahan dalam undang-undang dan dasar, perlu ada lebih keterbukaan. Saya fikir sudah sampai masa untuk kita mempunyai hak terhadap undang-undang maklumat," katanya lagi.