Kualiti tenaga pengajar dan pengajian peringkat ijazah di universiti tempatan adalah setanding dengan universiti luar negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Justeru, beliau berkata perkara itu harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar tanpa perlu membazir wang ke luar negara untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah.

"Lima universiti penyelidikan tempatan antaranya Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Sains Malaysia mempunyai tenaga pengajar dan kursus yang bertaraf antarabangsa.

Jadi buat apa membazir pergi ke luar negara dan membayar kos pengajian yang tinggi bagi perkara sama yang boleh didapati di sini," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan pusat sukan dan rekreasi Universiti Mahsa dekat sini pada Selasa.

Turut hadir Canselor universiti itu, Tun Zaki Azmi dan Pengerusi Eksekutifnya, Prof Tan Sri Mohamed Haniffa Abdullah.

Menurut Idris, usaha berterusan kementeriannya dalam meningkatkan kualiti dan tahap pengajian tinggi tempatan juga telah menerima pengiktirafan dari negara luar.

"Pelbagai ranking antarabangsa telah memberikan kedudukan yang baik kepada universiti tempatan dan ini menunjukkan usaha kementerian mula membuahkan hasil," katanya.

Pusat rekreasi bernilai RM20 juta yang bakal dibina di kampus Universiti Mahsa di Saujana Putra dekat sini, akan dilengkapi dengan kolam renang, padang bola, gelanggang badminton dan skuasy.

Pembinaan dijangka bermula pada penghujung bulan ini dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

-- BERNAMA