Kuala Perlis, Sungai Santan dan Sungai Repah teruk tercemar

Bernama
Disember 21, 2019 09:39 MYT
Azizan melahirkan rasa terkilan dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di tebing Sungai Repoh dan berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan. - Gambar hiasan
Kuala Perlis, Sungai Santan dan Sungai Repoh adalah antara tempat yang teruk tercemar di Perlis dengan perbuatan membuang sampah sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Azizan Sulaiman.
Beliau berkata ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat di negeri ini terhadap menjaga kebersihan kawasan sekitar termasuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya masih rendah walaupun kemudahan telah disediakan secukupnya.
"Ini kerana masih ada orang yang beranggapan bahawa kerja-kerja pembersihan sampah termasuk pengurusan sisa pepejal adalah tanggungjawab Majlis Perbandaran Kangar (MPK) semata-mata.
"Sikap tidak bertanggungjawab ini perlu segera dikikis bagi mendukung hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersih walaupun jumlah sisa pepejal di Perlis adalah rendah berbanding negeri lain iaitu kira-kira 120 tan sehari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi bersama Rakan Strategik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Media di sini, Jumaat malam.
Beliau melahirkan rasa terkilan dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di tebing Sungai Repoh dan berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan.
"Kawasan itu bukan kawasan kampung, boleh dikatakan kawasan elit bandar Kangar yang menempatkan taman-taman perumahan mewah dan masyarakat berpelajaran, kenapa perkara seperti ini boleh terjadi," katanya.
Katanya bagi mengatasi masalah itu, pelbagai program dirancang kerajaan negeri bersama pihak SWCorp Perlis antaranya menahan individu atau kumpulan yang membuang sampah di merata tempat selain menambah papan tanda larangan membuang sampah yang boleh dikenakan denda atau tindakan di beberapa kawasan tumpuan.
-- BERNAMA
#alam sekitar #Azizan Sulaiman #buang sampah #Kangar #kerja pembersihan #Kuala Perlis #pencemaran #Perlis #sampah #Sungai #Sungai Repoh #Sungai Santan #tahap kesedaran #tercemar
;