Kuala Muda selepas sedekad dilanda tsunami
Astro Awani
Disember 25, 2014 13:13 MYT
Disember 25, 2014 13:13 MYT
Sedekad telah berlalu sejak tragedi tsunami membadai pesisir pantai di beberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia.
Pulau Pinang adalah salah satu negeri yang turut menerima musibah itu apabila lebih 60 mangsa meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Selain di Batu Feringghi, Teluk Bahang, Pulau Betong dan Tanjung Bungah, kawasan pantai Kuala Muda di Penaga, Kepala Batas turut dibadai ombak besar yang tidak pernah diduga oleh penduduk di sekitarnya.
Selain rumah yang rosak teruk, tragedi 26 Disember 2004 itu turut melumpuhkan semua aktiviti nelayan disitu apabila semua bot nelayan serta peralatan menangkap ikan musnah.
Akibatnya, segala urus niaga di pusat pendaratan hasil laut di situ terhenti seketika.
Namun, setelah 10 tahun berlalu,pembangunan yang dilakukan tahun demi tahun menyebabkan pantai Kuala Muda bukan sahaja berubah wajah, malah semakin dikenali dan menjadi tumpuan ramai.
Tinjauan semula krew Astro Awani ke kawasan Kuala Muda mendapati pelbagai kemudahan telah dibangunkan oleh kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seperti jeti nelayan yang baharu, pusat pendaratan hasil laut, gerai dan lain-lain.
“Pihak JPS sudah menjalankan beberapa usaha menaik taraf kawasan ini. Selain petempatan baharu, kami juga mendapat jeti baharu yang berbumbung. Kami menerima kehadiran pengunjung yang ramai dari luar kawasan, khususnya pada hari Sabtu dan Ahad,” kata peniaga ikan, Mohd. Nor Ibrahim.
Kedatangan orang ramai ke kawasan berkenaan secara tidak langsung turut membantu merancakkan perniagaan warga tempatan sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk Kuala Muda.
Daripada hanya beberapa gerai sebelum ini, kini ramai penduduk mengambil peluang menjalankan perniagaan jualan makanan di deretan gerai yang disediakan.
Namun, di sebalik semua itu, penduduk masih berharap agar beberapa kemudahan yang disediakan di situ dinaik taraf semula bagi menjamin keselesaan penduduk dan orang ramai yang berkunjung ke situ.
“Ruang niaga ini agak sempit untuk memuatkan barang saya yang banyak. Kalaulah kedai ini dapat diperbesarkan, barulah selesa untuk berniaga.
“Ketika waktu tertentu, pelanggan yang ramai terpaksa berdiri kerana di sini hanya muat untuk kami letakkan tiga buah meja makan. Ramai yang membungkus pesanan makanan untuk dibawa pulang sahaja,” kata seorang peniaga, Robiah Seman.
Selain pembangunan di pesisir pantai, corak petempatan penduduk turut berubah sama sekali apabila semua mangsa yang terlibat dengan bencana itu kini menetap di satu kawasan perumahan baharu yang lebih tersusun dan selamat.
Deretan unit rumah banglo yang dibina dengan kos RM9.4 juta oleh kerajaan pusat di sepanjang jalan menuju ke pantai Kuala Muda bagaikan rahmat kepada lebih 400 mangsanya.
Taman perumahan yang lebih dikenali dengan panggilan ‘taman tsunami’ itu dibina agak jauh dari kawasan pantai. Persekitarannya disifatkan penduduk sebagai lebih selesa dan mewah berbanding rumah lama mereka apabila dilengkapi pelbagai kemudahan komuniti di sekitarnya.