Kuala Lumpur tersenarai 10 destinasi sohor dunia - Tripadvisor
Bernama
Februari 1, 2024 00:30 MYT
Februari 1, 2024 00:30 MYT
KUALA LUMPUR: Minat terhadap bandar raya di Asia dijangkakan terus meningkat tahun ini, dengan Kuala Lumpur berada dalam kelompok 10 destinasi pelancongan paling sohor di dunia, menurut ulasan dan penilaian pengembara global di Tripadvisor.
Menurut Tripadvisor, dengan kemunculan kawasan tumpuan pelancongan baharu pada 2024, Asia terus unggul apabila menguasai lima tempat teratas dan lapan dalam senarai 10 destinasi paling popular di dunia itu.
Berdasarkan senarai tersebut, tahun ini Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-10 manakala Tokyo, Jepun berada di tempat pertama; diikuti Seoul, Korea Selatan (kedua); Halong Bay, Vietnam (ketiga); Pulau Palawan, Filipina (keempat); Sapa, Vietnam (kelima); Pattaya, Thailand (ketujuh) dan Phnom Penh, Kemboja (kesembilan).
Bogota, Colombia di Amerika Selatan dan Alajuela, Costa Rica di Amerika Tengah pula menjadi satu-satunya benua lain yang tersenarai dalam 10 teratas, iaitu masing-masing di tempat keenam dan kelapan.
Kuala Lumpur turut menduduki tempat keenam dalam senarai bandar raya paling ramai dilawati dengan keseluruhan 13.79 juta pelawat antarabangsa setakat 2018.
Ini berdasarkan Indeks Bandar Destinasi Global 2019, iaitu kajian oleh syarikat teknologi pembayaran global, Mastercard, yang menyenaraikan bandar berdasarkan jumlah ketibaan pelawat semalaman antarabangsa dan perbelanjaan rentas sempadan.
Kuala Lumpur, yang menempatkan ibu pejabat Petronas, tersenarai dalam 'Fortune Global 500' dengan menduduki tempat ke-139 pada 2023.
Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat yang merupakan bangunan berkembar tertinggi di dunia dengan seni bina moden dan Kuil Sri Mahamariamman iaitu kuil Hindu Tertua di Malaysia, menjadi antara tarikan utama pelancong ke Kuala Lumpur.
Pengumuman Anugerah Destinasi Terbaik Pilihan Pengembara Tripadvisor yang menyenaraikan destinasi sohor di dunia bagi 2024 itu, dibuat bulan lepas.
Kedudukan itu ditentukan berdasarkan kualiti dan kuantiti ulasan serta penilaian daripada pengembara bagi penginapan, restoran dan 'perkara perlu dilakukan' yang disiarkan di Tripadvisor dari 1 Okt 2022 dan 30 Sept 2023.
-- BERNAMA