Kuala Lumpur harus bersedia depani cabaran, pastikan tiada golongan terpinggir - PM

Bernama
Februari 5, 2022 04:54 MYT
Ismail Sabri berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur 2022 di Panggung Anniversari Taman Botani Perdana malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur yang meniti usia separuh abad tahun ini harus lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan serta memastikan tiada golongan yang dipinggirkan selaras prinsip Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Keluarga Malaysia mengamalkan prinsip tiada yang dipinggirkan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan yang mentadbir bandar raya ini perlu dinamik dan produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan.
"Bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Prinsip ini terpakai dalam mengurus dan mentadbir bandar raya Kuala Lumpur. Golongan B40 misalnya, perlu diambil perhatian bagi memastikan keperluan asas mereka terbela," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur, di sini malam tadi.
Pembentukan bandar raya yang mampan untuk semua perlu mengambil kira keperluan ekonomi sesebuah bandar malah tarikan sebenar sesebuah bandar raya adalah keupayaannya untuk mewujudkan peluang pekerjaan, katanya.
"Dengan adanya faktor tarikan ini, maka bandar raya dapat terus berkembang secara holistik untuk jangka masa panjang," katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata warga kota merupakan tunjang keutuhan Kuala Lumpur dan kewujudan media baharu telah mendekatkan mereka dengan pentadbir bagi menyuarakan suara dan pandangan dalam pembangunan ibu negara.
"Suara dan pandangan mereka inilah yang akan menggerakkan usaha kerajaan. Khususnya, terhadap objektif dan fokus dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini. Hal ini selari dengan iltizam saya," katanya.
Mengimbau sejarah bandar raya pertama di Malaysia itu, beliau berkata Kuala Lumpur yang dahulunya sebuah pekan lombong bijih timah yang kecil dan sunyi serta dipenuhi rumah-rumah atap nipah, kini meriah dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan perkembangan pesat penempatan penduduk.
Katanya, dunia juga terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan kini, Menara Merdeka 118 merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, pada ketinggian 678.9 meter.
Beliau berkata penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat saban tahun dengan kini dianggarkan berjumlah lapan juta orang susulan pertumbuhan pesat ekonomi.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
BACA: PM umum Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur
Sementara itu, Shahidan berkata sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur semalam bertujuan mengukuhkan rasa cinta terhadap bandar raya dan wilayah berkenaan serta menyemarakkan kasih sayang antara warganya, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.
"Kisah Kuala Lumpur bermula dari sebuah kampung kecil yang terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak. Ia mula dibuka oleh peneroka yang terdiri daripada pelombong bijih. Hasil dari kegiatan ini, Kuala Lumpur mula berkembang dengan pesatnya," katanya.
Beliau berkata fungsi Kuala Lumpur juga turut berubah selari dengan pembangunan ekonomi dan fizikal yang berevolusi daripada sebuah bandar utama dan seterusnya sebagai wilayah konurbasi yang setanding dengan wilayah perbandaran dan ekonomi dunia.
Shahidan turut menyeru agar semangat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menterijuga seharusnya disemarakkan lagi sebagai simbol kekuatan negara yang berbilang bangsa dan agama.
"Semangat Keluarga Malaysia ini turut kita tanamkan di Wilayah Persekutuan, dengan kementerian bersama agensi di bawahnya tidak hanya terlibat dalam operasi menyelamat ketika banjir serta pembersihan pasca banjir di Kuala Lumpur, tetapi turut meluaskan bantuan ke negeri-negeri lain termasuklah di Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka," katanya
Shahidan berkata selain itu usaha mempromosi dan mempertengahkan Kuala Lumpur sebagai pilihan utama pelancongan perlu ditingkatkan bukan sahaja kepada pelancong domestik malah pelancong luar negara, terutamanya apabila pintu masuk antarabangsa mula dibuka semula pada era pasca COVID-19 nanti.
Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur adalah bersempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia pada 1972 yang jatuh serentak dengan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lepas.
-- BERNAMA
#Kuala Lumpur #DBKL #pembangunan #ismail sabri yaakob
;