Kuala Lumpur Exchange 2023 martabat artisan, hasil kraf tempatan

Astro Awani
September 21, 2023 10:00 MYT
Nik Faiz dalam sidang media Kuala Lumpur Exchange 2023 pada Rabu. - Gambar Pertubuhan Kraf Malaysia
KUALA LUMPUR: Menyusuli kejayaan hebat Kelantan Exchange 2020 dan 2021, serta Penang Exchange 2022, Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) membawa acara itu ke Kuala Lumpur tahun ini.
Dalam satu kenyataan, MCC memaklumkan, Kuala Lumpur Exchange 2023 akan berlangsung selama 10 hari, dan padat dengan aktiviti yang mengujakan berbanding penganjuran sebelumnya.
Kuala Lumpur Exchange 2023 membawa tema ‘The Silver Lining Experience’, dengan menekankan isu krisis kepupusan budaya dan kraf yang semakin meruncing di Malaysia.
"Pengunjung serta semua yang terlibat akan dibawa ke suatu pengalaman pengembaraan dan aktiviti kebudayaan yang mengasyikkan melalui pendekatan ‘hands-on’ atau praktikal.
"Kuala Lumpur dilihat sebagai pilihan tepat untuk tujuan ini dan memenuhi sasaran capaian organisasi.
"Kami juga berharap ia mampu menghimpunkan badan-badan serta individu-individu berpengaruh yang sehaluan dengan aras pemikiran yang setara, untuk mendidik, memupuk dan mewujudkan kesedaran yang luas tentang keunikan hasil kraf tempatan," kenyataan itu menyebut.
Presiden Pengasas Pertubuhan Kraf Malaysia, Nik Faiz Nik Amin berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada ekosistem mampan yang diperlukan untuk menghasilkan golongan artisan berkualiti.
"Golongan muda perlu diberi kesedaran dan ilmu yang mendalam untuk mencetuskan minat dan kecenderungan mereka terhadap kepelbagaian bidang kraf tempatan dan industri ini perlu disambut oleh ahli masyakarat Malaysia serta pasaran luar negara dalam memastikan permintaan dan pengeluaran yang seimbang," katanya.
Sementara itu, pelakon yang juga pensyarah Seni Persembahan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Arja Lee melihat pembabitan golongan selebriti dalam program seumpama ini sebagai usaha dalam melahirkan lebih ramai pencinta seni kreatif.
"Sangat penting kerana melalui penglibatan sebegini sebenarnya banyak membantu NGO atau mana mana pertubuhan dalam melaksanakan serta merealisasikan misi dan visi mereka pada tahap yang cukup baik.
"Saya harap lebih ramai lagi rakan rakan selebriti turut sama dalam usaha melahirkan generasi yang kenal, beradab dan cintakan seni," ujarnya.
Program yang turut disokong Kementerian Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan (MOTAC), Tourism Malaysia serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu akan berlangsung dari 14 Oktober sehingga 23 Oktober 2023, di Lalaport, Bukit Bintang sebagai pusat aktiviti, bermula dengan KLEX Cultural Sprint dan Kecoh Kecoh Kebaya Race.
Ia bakal menampilkan barisan artisan dengan hasil kraf mereka untuk jualan di Pekan Sari, penganjuran seminar, sesi forum atau bual bicara dan bengkel berkaitan kraf serta industri seperti Seni Sulaman Kelingkan, Seni Anyaman Songket dan Seni Kain Telepuk.
Kemuncak acara adalah majlis makan malam amal ‘The Silver Splendour Gala Dinner’ yang bakal dihadiri oleh kerabat diraja, pembesar negara serta individu berpengaruh pada 23 Oktober di Hotel The Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Turut akan diadakan adalah bersempena Kuala Lumpur Exchange 2023 ialah Festival Seni Hidup @Living Arts Culture Festival (LACF), yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober 2023.
Program tiga hari ini menghimpunkan kesenian yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan serta kesenian yang jarang diketengahkan.
Selain Malaysia, 12 negara akan mengambil bahagian iaitu Argentina, Azerbaijan, Filipina, India, Indonesia, Kazakhstan, Mauritius, Mexico, Nigeria, Republik Korea, Sri Lanka dan Uzbekistan.
#Kuala Lumpur Exchange 2023 #artisan #Kraf #seni budaya
;