Kuala Krai catat suhu maksimum 37.3 darjah Celsius - Madius

Bernama
Mei 9, 2016 23:55 MYT
Malaysia kini mengalami cuaca panas dan kering disebabkan fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun. - Gambar fail
Kuala Krai, Kelantan merekodkan bacaan suhu tertinggi dalam negara 37.3 darjah Celsius setakat 4 petang, pada Isnin.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata kawasan-kawasan tengah Semenanjung Malaysia yang lain juga turut mencatatkan bacaan suhu maksimum iaitu melebihi 35 darjah Celsius.
"Untuk bilangan hari tanpa hujan berturut-turut sehingga semalam (8 Mei), Kota Bharu, Kelantan terus merekodkan peningkatan iaitu 36 hari, diikuti oleh Mersing, Johor sebanyak 23 hari," katanya dalam satu kenyataan malam semalam.
Beliau menasihati orang ramai agar banyak minum air dan mengurangkan aktiviti luar sewaktu keadaan cuaca panas.
Malaysia kini mengalami cuaca panas dan kering disebabkan fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.
#El Nino #Jabatan Meteorologi Malaysia #Kuala Krai #Madius Tangau #Semenanjung Malaysia #suhu