Kuala Kedah sekali lagi dilanda air pasang besar
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 28, 2022 10:00 MYT
Oktober 28, 2022 10:00 MYT
ALOR SETAR: Kuala Kedah sekali lagi dilanda fenomena air pasang besar dan kali ini makin memburuk apabila sebanyak 37 rumah dan 19 kedai di sekitar Taman Seri Putra dinaiki air awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, bacaan paras air laut setinggi tiga meter telah menyebabkan beberapa kediaman penduduk dan kedai di sepanjang Jalan Tok Pasai Kuala Kedah turut dinaiki air.
"Kejadian air pasang itu turut melimpahi Terminal Feri Kuala Kedah dan Pasar Nelayan Kota Marina.
"Air mula naik pada jam 1.30 pagi dan kembali surut jam 3 pagi, namun tiada mangsa dipindahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norlizawati berkata, kejadian air pasang besar ini berlaku sejak Rabu lalu yang menyebabkan paras air laut mencecah 2.98 meter dan tiga meter pagi tadi.
#air pasang besar
#Taman Seri Putra
#Jalan Tok Pasai
#Terminal Feri Kuala Kedah
#Pasar Nelayan Kota Marina