Ku Li anggap Bajet 2016 sempurnakan tuntutan rakyat

Bernama
Oktober 24, 2015 21:52 MYT
Bajet 2016 bertema 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat' yang dibentangkan Najib di Dewan Rakyat itu merangkumi peruntukan RM267.2 bilion berbanding RM260.7 bilion bagi 2015. - Gambar Fail
Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menganggap Bajet 2016 yang dibentangkan semalam sebagai memenuhi tuntutan rakyat terutama golongan pendapatan sederhana dan ke bawah.
"Kerajaan telah menyediakan pakej terbaik untuk rakyat menerusi pembentangan bajet semalam dan menepati hampir keseluruhan sasaran walaupun mungkin ada satu dua perkara yang boleh ditambah baik," katanya.
Tengku Razaleigh, atau Ku Li, ditemui pemberita selepas melawat tapak binaan rumah mangsa banjir di Kampung Batu Papan Dua di sini hari ini.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah menyediakan bajet seimbang untuk semua dan terimalah apa yang dibentangkan itu," katanya.
Bajet 2016 bertema 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat' yang dibentangkan Najib di Dewan Rakyat itu merangkumi peruntukan RM267.2 bilion berbanding RM260.7 bilion bagi 2015.
Mengenai pembinaan rumah mangsa banjir pula, Tengku Razaleigh berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan lebih RM6 juta bagi tujuan itu.
Namun, beliau kecewa dengan proses pembinaan yang menjadi lewat akibat syarat terlalu banyak yang dikenakan pihak tertentu.
"Cadangan kita nak bina 100 unit tetapi hanya lulus pembinaan 40 unit sahaja kerana halangan tertentu. Saya akan usahakan supaya ia dapat disiapkan juga sebelum Disember ini," katanya.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Datuk Nozula Mat Diah, ADUN Galas Ab Aziz Yusof dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamat.
##Bajet2016 #Bajet 2016 #Tengku Razaleigh Hamzah
;