KTMB umum perubahan operasi perjalanan tren di pantai timur

Bernama
Disember 1, 2019 06:03 MYT
KTMB menyeru penumpang agar mendapatkan maklumat terkini berkaitan operasi tren-tren di Wilayah Timur dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 24 jam. - Gambar hiasan
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan perubahan operasi melibatkan perkhidmatan tren yang bermula dari Stesen Tumpat, Wakaf Bharu dan Pasir Mas ekoran keadaan semasa musim tengkujuh di kawasan pantai timur.
Ketua Komunikasi Korporat KTMB Ahmad 'Asri Khalbi berkata penumpang dari Stesen Tumpat, Wakaf Bharu dan Pasir Mas diminta menaiki tren dari Stesen Tanah Merah dan digesa menggunakan perkhidmatan alternatif untuk ke stesen itu.
"Tren No. 27 dari Tumpat ke JB Sentral yang dijadualkan berlepas pada 6.50 petang ini, sebaliknya akan bermula dari Stesen Tanah Merah pada 7.49 petang. Perubahan berkuatkuasa sehingga notis terkini dikeluarkan KTMB," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Beliau berkata penumpang boleh membuat pertukaran tarikh, masa atau membatalkan perjalanan itu dan pemulangan harga tiket penuh akan diberikan bagi sebarang pembatalan.
"KTMB juga menyeru para penumpang agar mendapatkan maklumat terkini berkaitan operasi tren-tren di Wilayah Timur dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 24 jam dengan menelefon 03-22671200.
"Maklumat juga boleh didapati menerusi laman web rasmi www.ktmb.com.my atau ktmberhad (Facebook), ktmbofficial (Instagram), @ktm_berhad (Twitter),"katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad 'Asri Khalbi #KTMB #operasi #Pantai Timur #Pasir Mas #pembatalan #pemulangan harga tiket #perkhidmatan alternatif #Pusat Khidmat Pelanggan #stesen kereta api #Tanah Merah #tengkujuh #tren #Tumpat #Wakaf Bharu
;