KTMB tambah 32 servis ETS, 20 servis KTM Intercity pada 2022
Astro Awani
Disember 27, 2021 11:18 MYT
Disember 27, 2021 11:18 MYT
KUALA LUMPUR : Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah lagi 32 perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan 20 perkhidmatan KTM Intercity untuk tahun 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, jualan tiket bagi perkhidmatan itu akan dibuka bermula 5 Januari 2022 bagi perjalanan 15 Januari hingga 30 Jun 2022 dengan menggunakan jadual waktu baharu.
Menurutnya, penambahan perkhidmatan ETS melibatkan 10 servis laluan KL Sentral - Butterworth, 10 servis laluan KL Sentral - Ipoh, lapan servis laluan KL Sentral - Padang Besar, dua servis laluan Gemas-Butterworth dan dua servis Gemas-Padang Besar.
Jumlah itu jauh lebih banyak daripada hanya 16 servis disediakan sebelum ini.
"Perkhidmatan KTM Intercity juga ditambah perkhidmatannya kepada 20 servis yang terdiri daripada dua (2) Ekspres Timuran, enam (6) Ekspres Selatan dan 12 Shuttle Timuran berbanding 16 servis pada masa ini.
"Perkhidmatan ini akan menawarkan dua laluan baharu iaitu Gemas - Gua Musang Gemas dan Gemas - Kuala Lipis - Gemas menggunakan perkhidmatan tren Diesel Multiple Unit (DMU) pada pertengahan bulan Januari 2022 nanti.
"Jualan tiket ini dibuka untuk tempoh enam bulan mendatang bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, pulang ke kampung dan juga yang merancang untuk bercuti," katanya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang lebih rendah dan jimat.
"Para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.
"KTMB terus komited dalam usaha memastikan semua penumpang mematuhi SOP dan pengguna juga perlu memberi kerjasama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan untuk kesejahteraan bersama," ujarnya.