KTMB sedia tren tambahan sempena cuti sekolah, cuti peristiwa
Bernama
September 4, 2024 05:15 MYT
September 4, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Bersempena dengan cuti sekolah penggal kedua dan cuti peristiwa Hari Malaysia serta Maulidur Rasul, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya.
KTMB dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan perkhidmatan tren tambahan itu akan mula beroperasi pada 13 hingga 22 Sept ini bagi memenuhi permintaan penumpang yang meningkat semasa musim cuti sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
Menurut kenyataan itu, KTMB juga menawarkan 630 tiket sehari dan akan mula dijual pada Jumaat ini (6 Sept) bermula pukul 10 pagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,300 tiket yang merangkumi koc kelas perniagaan.
"Jadual operasi tren ETS tambahan Padang Besar-KL Sentral akan berlepas pada setiap pukul 11.05 pagi dan tiba pada 4.30 petang manakala bagi KL Sentral-Padang Besar, tren akan berlepas pada 5 petang dan tiba pukul 10.20 malam," menurut kenyataan itu.
KTMB juga menasihati orang ramai untuk membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, App Store dan App Gallery atau laman sesawang rasmi KTMB.
-- BERNAMA