KTMB sedia tren ETS sempena Deepavali

Bernama
Oktober 16, 2023 20:44 MYT
Menurut KTMB, tren tambahan ini menawarkan sebanyak 630 tiket sehari dan menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 3,150 yang ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan tambahan dua unit tren elektrik (ETS) bagi laluan stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) ke Padang Besar dan sebaliknya sempena sambutan perayaan Deepavali.
KTMB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi selama lima hari bermula dari 9 hingga 13 Nov manakala penjualan tiket tren tambahan berkenaan dibuka mulai 10 pagi esok.
Menurut KTMB, tren tambahan ini menawarkan sebanyak 630 tiket sehari dan menjadikan jumlah keseluruhan tiket sebanyak 3,150 yang ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan.
"Penambahan tren ETS ini adalah bagi menampung permintaan tiket kereta api yang tinggi semasa musim perayaan. Lebuh raya utama negara juga dijangka menerima jumlah trafik yang tinggi berbanding hari biasa," katanya.
KTMB memaklumkan tren akan berlepas pada 11 pagi dari Padang Besar dan tiba di KL Sentral pada 4.36 petang manakala tren dari KL Sentral akan berlepas pada 5.05 petang dan tiba di Padang Besar pukul 10.34 malam.
Dalam kenyataan yang sama, KTMB turut menawarkan promosi diskaun perkhidmatan tren ETS sebanyak 15 peratus untuk tarikh tertentu selama 10 hari dari 16 hingga 31 Okt ini.
KTMB berkata tawaran itu tertakluk kepada 200 penumpang pertama bagi kadar tambang kategori dewasa untuk mana-mana laluan ETS dan tidak termasuk kelas perniagaan serta terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja.
Kod promo boleh didapati menerusi saluran media rasmi dan laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my manakala pembelian tiket dengan memasukkan kod berkenaan boleh dilakukan melalui laman sesawang, kios dan aplikasi KTMB Mobile (KITS).
KTMB menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta elakkan pembelian tiket di saat akhir.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.
-- BERNAMA
#ETS #laman sesawang #penumpang pertama #diskaum perkhidmatan
;