KTMB sedia empat tren tambahan sempena Aidiladha

Bernama
Mei 26, 2024 08:00 MYT
Penambahan perkhidmatan tren tambahan bertujuan menampung permintaan tinggi semasa musim perayaan dan mengelakkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan tambahan empat unit tren elektrik (ETS) iaitu masing-masing dua bagi laluan Padang Besar-KL Sentral dan sebaliknya serta KL Sentral-Butterworth dan sebaliknya sempena Aidiladha ini.
KTMB dalam kenyataan semalam memaklumkan tren tambahan bagi laluan Padang Besar ke KL Sentral dan sebaliknya akan beroperasi bermula 13 hingga 18 Jun dan 21 hingga 23 Jun manakala laluan Butterworth ke KL Sentral dan sebaliknya beroperasi dari 13 hingga 18 Jun.
"Sebanyak 9,450 tiket tren tambahan termasuk koc kelas perniagaan akan mula dijual pada Ahad (26 Mei) pada 3 petang. Penambahan perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan tinggi semasa musim perayaan dan mengelakkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
"Orang ramai disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau membuat pembelian terus menerusi laman sesawang rasmi KTMB," menurut kenyataan itu.
KTMB turut menasihati pengguna agar merancang perjalanan dan membuat pembelian lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta elakkan pembelian tiket di saat akhir.
-- BERNAMA
#tren tambahan #KTMB #ETS #Aidiladha
;