KTMB sedia dua tren ETS tambahan sempena Deepavali

Bernama
Oktober 9, 2024 19:15 MYT
Perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi selama lima hari bermula 30 Okt hingga 3 Nov dengan penjualan tiket tren tambahan berkenaan dibuka mulai 10 pagi esok. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan tambahan dua unit tren elektrik (ETS) bagi laluan stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) ke Padang Besar dan sebaliknya sempena sambutan perayaan Deepavali pada 31Okt ini.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan tambahan itu akan beroperasi selama lima hari bermula 30 Okt hingga 3 Nov dengan penjualan tiket tren tambahan berkenaan dibuka mulai 10 pagi esok.
"Tren tambahan ini menawarkan 630 tiket sehari, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,150 tiket ditawarkan termasuk koc kelas perniagaan.
"Penambahan perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan yang tinggi semasa musim perayaan sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman," menurut kenyataan itu.
Tren tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya akan beroperasi hanya pada dua masa untuk berlepas iaitu jam 5 petang dan 11.05 pagi serta masa ketibaan dijangka pada jam 10.30 malam dan 4.30 petang.
KTMB menyarankan orang ramai agar membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB dan membuat pembayaran menggunakan KTM Wallet bagi mempercepatkan proses pembelian tiket.
"Pelanggan juga dinasihatkan merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.
Selain itu, pengguna diingatkan untuk tiba lebih awal di stesen kerana pintu kawalan akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas," menurut KTMB.
Sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
-- BERNAMA
#ETS #KTMB #Deepavali #tren tambahan
;