KTMB rekod 17 kemalangan maut babitkan pelanggaran tren pada 2018

Bernama
April 20, 2019 05:19 MYT
Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-keduanya bagi kesalahan merosakkan pagar premis kereta api untuk melintas landasan kereta api. - Gambar hiasan
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan 17 kemalangan maut akibat rempuhan tren di pelbagai lokasi di sepanjang 1,655 kilometer jajaran kereta api KTMB pada tahun lepas.
Ketua Komunikasi Korporat KTMB Ahmad 'Asri Khalbi dalam kenyataannya pada Sabtu berkata selain itu, KTMB turut merekodkan 53 kes pelanggaran ternakan selain 86 kes kecurian peralatan dan kabel serta 14 insiden membaling batu ke arah kereta api sepanjang 2018.
Menurutnya, tahun lepas KTMB mencatatkan kerugian hampir RM200,000 bagi menggantikan peralatan yang dicuri dan kerja-kerja baik pulih aset akibat pelanggaran dengan binatang ternakan.
"Pencerobohan manusia dan binatang ternakan ini memberi impak serius kepada operasi kereta api memandangkan kes ini berlaku saban masa dan ia menyebabkan berlaku kerosakan kepada aset, kelewatan tren dan kemungkinan berlaku nahas lebih buruk," katanya.
Ahmad 'Asri berkata pelbagai langkah proaktif telah diambil pihaknya bagi mengurangkan kes-kes tersebut dan usaha berterusan akan terus dilakukan dalam memastikan insiden sedemikian tidak terus menjejaskan pengoperasian tren.
"Antara usaha yang dilakukan ialah kempen sepanjang tahun bagi mendidik dan mengingatkan pengguna tentang aspek keselamatan berhampiran aset-aset kereta api seperti landasan dan stesen menerusi pelbagai cara termasuk komunikasi interaktif dengan pelanggan secara bersemuka dan melalui saluran media baharu.
"Taklimat keselamatan kereta api juga turut dijalankan di institusi pendidikan, kawasan tumpuan masyarakat serta para pemegang taruh di setiap lapisan masyarakat secara berkala," katanya.
Menurutnya, turut diadakan penetapan dan kemas kini papan-papan tanda amaran bahaya, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) serta meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang jajaran operasinya.
"Kawalan unit Polis Bantuan KTMB turut dipertingkat. Sehingga Disember tahun lepas, seramai 170 orang berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuk pencerobohan kawasan landasan," katanya yang turut berharap semua pihak memainkan peranan bagi mengurangkan kejadian sama.
Ahmad 'Asri berkata Seksyen 128, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-keduanya bagi kesalahan merosakkan pagar premis kereta api untuk melintas landasan kereta api.
"Akta yang sama turut mengenakan denda sebanyak RM500 bagi kesalahan melintas landasan kereta api dan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan merosakkan harta benda kereta api," katanya.
#Ahmad 'Asri Khalbi #aset #baik pulih #baling batu #denda #kabel #kecurian #kemalangan maut #kereta api #keselamatan #KTMB #pagar #pelanggaran #pencerobohan #rempuhan #tren
;