KT Bypass dijangka siap lebih awal, buka April ini - Fadillah
Bernama
Januari 24, 2022 21:23 MYT
Januari 24, 2022 21:23 MYT
KUALA TERENGGANU: Projek Jalan Pintasan Kuala Terengganu (KT Bypass) dijangka dapat disiapkan lebih awal dari jadual dan mungkin dibuka kepada pengguna jalan raya pada April ini.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek pintasan jalan bernilai RM220 juta itu pada asalnya dijangka siap pada September depan, namun kemajuan pembinaannya setakat ini telah mencecah hampir 92 peratus.
"Selepas mendengar taklimat daripada pihak kontraktor, mereka memberikan komitmen untuk menyiapkan projek ini lebih awal dan sasarkan siap pada April ini.
"Harap tiada lagi masalah timbul selepas ini dan (KT Bypass) dapat dibuka kepada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak dan Projek KT Bypass di sini, hari ini.
Katanya projek KT Bypass telah dimulakan sejak 2016, namun tertangguh agak lama disebabkan beberapa masalah teknikal antaranya proses pengambilan tanah, reka bentuk yang perlu ditambah baik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
Fadillah berkata semua isu berkenaan telah berjaya diselesaikan dan pelaksanaan projek yang akan memanfaatkan lebih 70,000 penduduk terutama di sekitar Bandar Baru Bukit Besar itu berjalan lancar.
Menurutnya KT Bypass sepanjang hampir enam kilometer itu dapat menjimatkan masa sebanyak 30 minit kerana dapat mengelakkan kenderaan daripada perlu memasuki pusat bandar raya Kuala Terengganu.
Katanya, jalan baharu empat lorong itu juga akan mengurangkan kesesakan di pusat bandar dan mempercepatkan perjalanan pengguna jalan raya dari Kuantan, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan.
KT Bypass bermula dari persimpangan Tok Molor, Kuala Ibai dan berakhir di Kampung Durian Burung dekat sini.
Sementara itu Fadillah memberitahu projek pembinaan Hospital Pengajar UniSZA telah siap sepenuhnya pada 11 Disember tahun lepas dengan kos bernilai RM281 juta.
Beliau berkata pihaknya kini hanya menunggu tarikh untuk menyerahkan hospital berkenaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan ia dijangka akan beroperasi kepada umum secara berperingkat bermula April ini.
-- BERNAMA