KSU Kementerian ditahan, wang tunai serta jongkong emas RM3 juta dirampas - SPRM
Hilal Azmi
Januari 4, 2017 18:17 MYT
Januari 4, 2017 18:17 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar Datuk hari ini kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki menerusi kenyataan media memberitahu, KSU yang berusia 59 tahun dipercayai telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya dengan menerima rasuah daripada mereka yang berkepentingan.
Beliau ditahan di kediamannya di USJ, Subang Jaya.
"SPRM telah merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
"Turut ditahan, seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berperanan menerima dan menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang berkepentingan dengan individu terbabit.
"Mereka ditahan di sekitar Subang Jaya pada 8 pagi Rabu," katanya.