KSP RMK12 rungkai tahap pembangunan negara, sosioekonomi rakyat - Anwar
Bernama
September 11, 2023 09:40 MYT
September 11, 2023 09:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bakal merungkai pelbagai perkara berkaitan tahap pembangunan negara dan sosioekonomi rakyat untuk penggal 2021-2025.
Demikian menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam catatan menerusi Facebook beliau.
"Insya-Allah, pada 10 pagi sebentar lagi saya akan membentangkan KSP RMK12," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Menurut takwim persidangan Dewan Rakyat menerusi laman rasmi Parlimen, pembentangan KSP RMK12 pagi ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen selama tiga hari bermula esok diikuti jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 dan 19 Sept.
Pembentangan KSP RMK12 akan disiarkan secara langsung menerusi YouTube Parlimen Malaysia dan beberapa saluran televisyen.
-- BERNAMA