KSN jalani kuarantin kendiri, sidang media Pengurusan Darurat dibatalkan

Firdaus Azil
Januari 26, 2021 03:46 MYT
Mohd Zuki memaklumkan beliau kini menjalani kuarantin kendiri hingga 31 Januari atas nasihat Kementerian Kesihatan. -Instagram/Mohd Zuki
KUALA LUMPUR: Sidang media berhubung Pengurusan Darurat petang ini terpaksa dibatalkan selepas Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tan Sri Mohd Zuki Ali terpaksa menjalani kuarantin wajib.
Dalam kenyataan melalui Instagramnya, Ketua Setiausaha Negara itu berkata, beliau perlu menjalani kuarantin wajib hingga 31 Januari ini atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.
Jelasnya lagi, ia susulan salah seorang kontak rapat beliau disahkan terkena jangkitan COVID-19.
“Dimaklumkan saya kini menjalani kuarantin kendiri di kediaman saya sehingga 31 Januari 2021 berdasarkan nasihat daripada KKM.
“Ini berikutan salah seorang kontak rapat saya didapati positif COVID-19 pada 22 Januari 2021,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau berkata, situasi itu tidak akan menjejaskan kerja dan tanggungjawab beliau, termasuk pengurusan Pentadbiran Awam.
Mohd Zuki dijadualkan mengadakan sidang media berhubung kemas kini JawatanKuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hasan pengerusikan bersama-sama.
Bagaimana pun, susulan perkembangan itu, hanya kenyataan yang akan dikeluarkan.
#Pengurusan Darurat #Mohd Zuki Ali #Pengerusi Jawatankuasa Teknikal #ketua setiausaha negara #kontak rapat positif COVID-19 #sidang media dibatalkan