KSN dahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Pingat sempena Keputeraan Agong
Bernama
September 7, 2024 13:21 MYT
September 7, 2024 13:21 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 hari ini.
Beliau dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Turut dikurniakan PMN ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Enam individu dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri termasuk Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal.
Penerima lain adalah Pengerusi Kumpulan CIMB Group Holdings Berhad Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman antara penerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.
Turut dikurniakan PJN adalah Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Ketua Polis Johor Datuk M Kumar.
Juruiring Tentera Darat Yang di-Pertuan Agong Brig Jen Datuk Mohd Shawal Arbanyin dikurniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) manakala bagi Darjah Johan Mangku Negara pula, tiga individu disenaraikan sebagai penerima antaranya Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia Zahid Ismail manakala empat individu dikurniakan Darjah Johan Setia Diraja antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani.
Tahun ini juga menyaksikan 12 individu dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Ketua Perancangan Strategik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Harlina Samson selain dua individu dikurniakan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD).
Atlet boling padang negara Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi pula antara 24 penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN), selain 38 individu dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) manakala sembilan individu menerima Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).
Anggota tentera yang menyelamatkan seorang lelaki dan wanita terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang Januari lepas, Sarjan Mazlan Abdul Rahman pula penerima tunggal Bintang Jasa Perkasa Persekutuan (JPP).
-- BERNAMA
#keputeraan Yang di-Pertuan Agong
#ketua setiausaha negara
#Shamsul Azri Abu Bakar
#penerima Darjah Kebesaran