KSM sedang perinci cadangan perluas Skim Keilatan pekerja asing - Sivakumar
Fareez Azman
November 1, 2023 21:29 MYT
November 1, 2023 21:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang memperincikan cadangan memperluas Skim Keilatan kepada pekerja asing di negara ini sebelum dikuatkuasakan dalam masa terdekat.
Menurut Menterinya, V. Sivakumar, skim itu dapat meningkatkan perlindungan sosial golongan pekerja asing daripada keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan pekerjaan.
"Kementerian sedang memuktamadkan rancangan untuk memperluas Skim Keilatan yang diperuntukkan menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) supaya turut meliputi pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini.
"Ini bagi meningkatkan tahap jaringan perlindungan sosial dan memberi keadilan kepada pekerja yang berkhidmat di pelbagai sektor dan industri termasuk buruh asing di negara ini selari dengan Konvensyen 19 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Makan Tengah Hari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di ibu negara pada Rabu.
Ketika ini jelas Sivakumar, pekerja asing hanya dilindungi dengan Skim Bencana Kerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
"Untuk pekerja tempatan, mereka dilindungi dengan Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan dengan kadar caruman dibuat majikan sebanyak 1.75 peratus manakala pekerja membayar 0.5 peratus.
"Bagi pekerja asing pula, majikan membayar sebanyak 1.25 peratus dan tiada bayaran dikenakan kepada pekerja… tetapi dengan perluasan Skim Keilatan ini kelak, kadar caruman akan diselaraskan dengan kadar caruman majikan dan pekerja tempatan," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa majikan pekerja domestik asing dapat mencarum skim Perkeso bagi memastikan pekerja mereka dilindungi.
Sehingga kini, hanya 39.67 peratus daripada 95,000 pekerja domestik asing dilindungi skim Perkeso di negara ini.