KSM cari formula atasi isu anak muda kurang ceburi industri kreatif
Bernama
Julai 11, 2023 05:15 MYT
Julai 11, 2023 05:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mencari formula terbaik, bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja anak muda dalam sektor kemahiran industri kreatif termasuk penghasilan batik dan kraftangan, terutamanya di Terengganu.
Timbalan Menterinya Mustapha Sakmud berkata ini termasuk melibatkan kerjasama pihak industri, penyedia latihan, majikan dan peserta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Kita akui anak muda sekarang ini kurang meminati industri kreatif dan kraftangan ini. Semalam, ketika perbincangan dengan pengusaha industri batik dan kraftangan di sini, mereka mengeluh kerana sukar untuk mencari pelatih baharu.
"Ini menggusarkan, sebab Terengganu terkenal dengan industri kraftangannya, tapi anak muda tak ramai nak masuk kursus ini," katanya kepada media selepas merasmikan Sesi Libat Urus TRIPARTITE 2023 Zon Timur di Institut Latihan Perindustrian Marang di sini, pada Selasa.
Justeru, Mustapha berkata kegusaran itu menjadi antara rasional pelaksanaan Sesi Libat Urus TRIPARTITE anjuran bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) semalam.
Beliau berkata sesi libat urus tersebut bertujuan menyediakan platform pertemuan antara blok permintaan (industri) dan blok penawaran (penyedia latihan kemahiran), melibatkan agensi kerajaan.
Sementara itu, Mustapha berkata KSM optimis akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan yang mahukan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi mencapai 35 peratus menjelang 2030.
Ini kerana beliau berkata walaupun tempoh itu masih berbaki tujuh tahun lagi, kini Malaysia telahpun mencapai 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Kita sedang bekerja keras untuk menjenamakan semula TVET ini bagi memastikan anak muda, ibu bapa dan masyarakat di luar sana, melihat TVET sebagai laluan kerjaya utama... bukan lagi pilihan kedua.
"Ini kerana kebanyakan negara maju sekarang memang menjadikan TVET sebagai bidang utama dan sebab itu kita perlu pastikan perkara berkenaan turut sama berlaku di negara ini," katanya.
-- BERNAMA