KSM bintang kebesaran paling saya minati - Dr Mahathir

Astro Awani
Januari 25, 2019 15:18 MYT
DR MAHATHIR: Bintang Kebesaran yang paling saya minati ialah KSM, Kerja Sampai Mati. -
"Bintang Kebesaran yang paling saya minati ialah KSM, Kerja Sampai Mati."
Itu kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan nada berseloroh di hadapan ribuan pengundi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini, pada Jumaat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata khidmatnya untuk negara bukan kerana duit, sebaliknya kerana sayang kepada negara.
Malah, katanya, selagi ada hayat, beliau akan terus cuba memperbetulkan keadaan dalam negara.
"Ini negara kita, kita dilahir di sini, dibesar di sini, berkahwin di sini, dapat anak di sini dan anak kita dapat banyak manfaat daripada negara ini.
"Tak sayangkah kita kepada negara kita ini?" katanya.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan calon PH bagi PRK berkenaan M Manogaran.
Dr Mahathir pertama kali dilantik menjadi perdana menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.
Berumur 93 tahun, Dr Mahathir turut mencipta sejarah apabila menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.
#Bintang Kebesaran #Cameron Highlands #Kerja Sampai Mati #ksm #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Mohamad Sabu #Sungai Koyan
;