KSM beri nombor temu janji untuk temu duga kepada majikan tidak dapat slot semalam
Bernama
Ogos 30, 2022 18:29 MYT
Ogos 30, 2022 18:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah memberikan nombor temu janji untuk temu duga lebih awal bagi sesi yang diadakan hari ini, Khamis (1 Sept) dan Jumaat (2 Sept) kepada majikan yang hadir secara datang terus semalam tetapi tidak mendapat slot temu duga mereka.
KSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan syarikat yang telah mendapat nombor temu janji sahaja dibenarkan untuk menghadiri sesi temu duga bagi memohon pekerja warga asing, mengikut tarikh yang tertera di nombor temu janji.
Semalam, dilaporkan para majikan berbaris panjang dan tidak mendapat slot temu duga bagi majikan yang hadir secara datang terus di Kompleks D, KSM.
Sesi temu duga itu melibatkan seramai 300 majikan yang terdiri daripada 150 majikan secara datang terus dan 150 majikan yang telah mendapat temu janji awal.
"Antara faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan ini adalah berpunca dari permohonan yang banyak diterima selepas pembukaan permohonan pekerja asing setelah dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19.
Selain itu, permohonan semula majikan yang telah memperoleh kelulusan kuota yang kurang daripada yang dimohon juga menjadi penyebab kepada bilangan permohonan yang banyak," menurut kenyataan itu.
Justeru, KSM menggesa majikan untuk membawa masuk terlebih dahulu pekerja asing berdasarkan kelulusan yang telah diberikan sebelum membuat permohonan baharu.
Menurut kenyataan, KSM akan berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pelanggan khususnya kepada majikan dan industri serta mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan penambahbaikkan.
-- BERNAMA