KSM akui wujud kes amah tidak dibayar gaji selama 19 tahun

Hilmi Malik
November 13, 2023 18:34 MYT
KSM akan pastikan Jabatan Tenaga Kerja menyiasat perkara tersebut dan dibawa ke muka pengadilan.
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia mengakui masih banyak kes membabitkan majikan yang mengabaikan pekerja asing termasuk isu tidak membayar gaji amah selama 19 tahun.
Menterinya, V. Sivakumar berkata, pihaknya juga telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk menyiasat kes tersebut dan memberi jaminan untuk mengheret majikan berkenaan ke muka pengadilan sekiranya didapati bersalah.
“Seperti kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini (Kedutaan Indonesia), pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan ambil tindakan sewajarnya terhadap majikan tersebut.
“Ini bukan pertama kali dan perkara ini telah berulang banyak kali dan kalau ada majikan yang abaikan dan cuai dalam isu ini maka tindakan tegas akan diambil.
“Saya tidak akan memberi pertimbangan dan saya akan pastikan bahawa pihak JTK akan mengheret mereka ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Sambutan Deepavali anjuran Kementerian Sumber Manusia di sini, pada Isnin.
Pada Ahad, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono menyatakan, kira-kira 90 peratus aduan diterima pihaknya membabitkan pekerjanya yang tidak dibayar gaji dan ada juga yang tidak dibayar sehingga 19 tahun dan bekerja sebagai buruh paksa.
Selain itu, Kedutaan Indonesia menerusi kenyataannya juga memaklumkan masih wujud kes penderaan membabitkan amah dan penganiayaan seperti tidak diberi makanan.
Penganiayaan turut membabitkan pekerja tidak berdaftar yang mungkin berpunca daripada ketiadaan kontrak perkhidmatan.
Hermono berkata, perkara seumpama itu juga berkemungkinan berlaku disebabkan majikan yang cuba mengelak daripada membayar levi dan bayaran wajib yang seterusnya membawa kesan kepada peningkatan pekerja asing tanpa dokumen sah.
#Indonesia #Kementerian Sumber Manusia #pekerja asing #amah #V Sivakumar
;