Kru warga asing dilarang turun dari kapal selepas berlabuh - Wee Ka Siong
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 15, 2021 11:13 MYT
Mei 15, 2021 11:13 MYT
KUALA LUMPUR: Anak kapal warga asing yang memasuki pelabuhan negara tidak dibenarkan keluar atau turun dari mana-mana kapal yang berlabuh.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kementeriannya dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 26 April lalu telah memutuskan larangan tersebut untuk sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pengecualian hanya diberikan kepada warganegara Malaysia dan mereka juga diwajibkan kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditentukan oleh kerajaan mengikut SOP ketat yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara.
“Kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala COVID-19 perlu menjalani kuarantin 14 hari setelah semakan ke atas dokumentasi/pemeriksaan 'Maritime Declaration of Health' oleh pihak KKM.
“Mana-mana kapal termasuk dari negara India tidak perlu dikuarantin di laut selagi mereka mendapat kebenaran daripada KKM untuk berlabuh.
"Semua pekerja di dermaga perlu menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) yang diluluskan oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga juga adalah tidak dibenarkan memasuki kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tanpa kelulusan KKM, katanya lagi.
MOT, jelasnya, akan terus memastikan segala SOP pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi tanpa kompromi serta mengetatkan lagi SOP dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan.
#Wee Ka Siong
#SOP
#KKM
#India
#kerajaan
#COVID-19
#kesihatan
#keselamatan
#menteri
#warga asing
#health
#Malaysia
#pandemik
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Majlis Keselamatan Negara