Kru stesen TV maut dalam nahas ketika berbasikal di Cyberjaya
Astro Awani
Oktober 22, 2021 11:38 MYT
Oktober 22, 2021 11:38 MYT
CYBERJAYA: Seorang petugas di stesen televisyen dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas pelanggaran dengan sebuah kereta dekat sini, pagi ini.
Insiden yang menimpa mangsa yang dikenali sebagai Jeffry Aziz, 57, dikongsi di laman sosial termasuk di Facebook Cyberjaya Community.
Allahyarham Jeffry yang juga pekerja Astro Production Sdn Bhd (APSB) meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dipercayai pada jam 9 pagi ketika mangsa menunggang basikal bersendirian di Cyberjaya.
Allahyarham pernah bertugas di bahagian Animated Production Technic (APT) sebagai juruaudio.
Jenazah Jeffry kini berada di Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
Berdasarkan gambar di lokasi nahas yang dikongsi orang ramai, kelihatan basikal yang digunakan oleh mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian tayar belakang.
Setakat ini, punca kemalangan dan kematian mangsa masih belum dikenal pasti.
Astro AWANI sedang mendapatkan kenyataan polis berhubung kejadian dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.