Kru nelayan maut terkena renjatan elektrik

Amirrul Rabbani
Jun 29, 2021 14:49 MYT
Mangsa yang merupakan warga Thailand berumur lingkungan 54 tahun mengalami lecur separuh badan. - APMM
LUMUT: Seorang kru nelayan meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik di atas sebuah bot tempatan di kedudukan lebih kurang 26.8 batu nautika barat laut Pulau Pangkor dekat sini, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Sharizan Raman, berkata sebelum itu pihaknya menerima maklumat berkenaan yang membabitkan seorang lelaki warganegara Thailand pada jam 1.27 pagi.
Katanya susulan itu, Kapal Maritim (KM) Gagah dikerahkan ke titik koordinat kecemasan tersebut bagi menjalankan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa.
Menurutnya, pihak Hospital Seri Manjung turut dimaklumkan bagi bantuan kecemasan dan perubatan terhadap mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat juga telah diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi pada hari yang sama sekitar jam 1.40 pagi.
“Setiba KM Gagah di lokasi sekitar jam 2.30 pagi, kru kapal segera melaksanakan pemindahan mangsa dari bot ke kapal.
“Mangsa seterusnya dibawa ke jeti Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh bagi pemindahan mangsa kepada pihak Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang merupakan warga negara Thailand berumur lingkungan 54 tahun mengalami lecur separuh badan dan mangsa juga kelihatan dalam keadaan separa sedar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada sekitar jam 6 pagi oleh pihak perubatan Hospital Seri Manjung.
“Maritim Negeri Perak meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737,” tambahnya lagi.
#nelayan #renjatan elektrik #warga Thailand #APMM #Pulau Pangkor #Maritim Perak #kemalangan #Hospital Seri Manjung
;