Kru kapal udang diculik: Polis Sabah tunggu maklumat pihak keselamatan Filipina
Radhi Muslim
September 23, 2019 05:40 MYT
September 23, 2019 05:40 MYT
Tiga kru nelayan yang sedang menarik udang dilarikan kumpulan bersenjata di perairan Tambisan pada Isnin.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.50 pagi itu melibatkan semua mangsa lelaki dipercayai dari negara jiran, berumur 27 hingga 48 tahun.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian, mangsa sedang menarik udang.
Menurutnya, ketika kejadian juga, terdapat sebuah bot nelayan lain berdekatan bot mangsa terbabit.
"Sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kemudiannya muncul dengan menaiki dua buah bot pam.
"Sebuah bot dinaiki empat lelaki bersenjata kemudiannya menuju ke arah sebuah bot nelayan di situ lalu merampas telefon bimbit kru-kru nelayan terbabit dan meninggalkan mereka.
"Dalam masa sama, sebuah bot pam dinaiki tiga lelaki bersenjata menuju ke sebuah lagi bot nelayan dinaiki tiga kru berkenaan, lalu mengiringi bot mangsa menuju keluar dari perairan negara," katanya ketika dihubungi malam tadi.
Menurut Omar, polis kemudiannya menemui bot nelayan terbabit namun tiga kru nelayan tersebut tiada di dalamnya.
Tambahnya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih giat dijalankan dan pihaknya masih menunggu maklumat lanjut dari pasukan keselamatan Filipina.
#bot
#bot pam
#culik
#Filipina
#kapal udang
#keselamatan
#kumpulan bersenjata
#mangsa
#menarik udang
#negara jiran
#nelayan
#Omar Mammah
#pasukan keselamatan
#Perairan Tambisan
#polis
#siasatan