Kru kapal tangki warga Rusia hilang dikhuatiri jatuh laut

Astro Awani
Februari 23, 2022 17:12 MYT
Mangsa yang dikenali sebagai Nerkrasov Sergey, 48 tahun, kali terakhir dilihat berada di atas kapal pada kedudukan sekitar 4.2 batu nautika barat daya Pulau Aur, Mersing. - Foto Media sosial/MarineTraffic.com
KUANTAN: Seorang kru sebuah kapal tangki warga Rusia, dilaporkan hilang dikhuatiri terjatuh ke laut di perairan Tanjung Gelang, Kuantan pada Selasa jam 10.30 malam.
Mangsa yang dikenali sebagai Nerkrasov Sergey, 48 tahun, kali terakhir dilihat berada di atas kapal pada kedudukan sekitar 4.2 batu nautika barat daya Pulau Aur, Mersing dan disedari hilang pada kedudukan sekitar 1.6 batu nautika Timur Tanjung Gelang, Kuantan.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan telah menggerakkan bot ronda Maritim yang sedang beroperasi di sekitar lokasi untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Kapal tangki yang berdaftar di Liberia itu dilaporkan sedang belayar dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Pula, Croatia.
Maritim Negeri Pahang telah menyalurkan maklumat kepada MRSC Johor, aset udara Maritim Malaysia, komuniti Nelayan Tempatan dan beberapa rakan agensi bagi memberi bantuan pencarian mangsa.
#kru kapal #warga Rusia #hilang #jatuh laut #Tanjung Gelang #Kuantan #Nerkrasov Sergey #APMM #maritim
;