Kru kapal layar masih gagal ditemui
Sinar Harian
Mei 12, 2022 06:00 MYT
Mei 12, 2022 06:00 MYT
ALOR SETAR: Operasi pencarian kru sebuah kapal layar dikhuatiri terjatuh ke dalam laut di perairan Kuah yang memasuki hari kedua ditangguhkan pada jam 7 malam pada Khamis selepas mangsa gagal ditemui.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, seramai sembilan pegawai dan 57 anggota dari lima agensi membabitkan PDRM, Bomba, TLDM, APMM dan APM terlibat dalam operasi tersebut.
Menurutnya, tujuh buah bot turut digunakan untuk mencari mangsa, Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23 yang hilang sejak petang Rabu.
"Pencarian masih tidak menemui mangsa. Operasi ditangguhkan pada jam 7 petang dan disambung semula esok (Jumaat) pada jam 8 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan seorang kru sebuah kapal layar dikhuatiri terjatuh ke dalam laut di perairan Kuah, Langkawi.
Mangsa dipercayai lewat hadir bekerja dan kapal layar yang patut dinaiki berlepas pada jam 4.30 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal ke atas rakan sekerja mangsa, Ahmad Nur Hassanuddin cuba mengejar kapal layar tersebut dengan menggunakan sebuah bot kecil yang dikemudi sendiri.
* Artikel asal di Sinar Harian