Kru kapal layar dikhuatiri lemas terjatuh di laut
Adie Sufian Zulkefli
Mei 11, 2022 00:42 MYT
Mei 11, 2022 00:42 MYT
ALOR SETAR: Seorang kru sebuah kapal layar dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh daripada bot dikemudinya di perairan Kuah di sini, petang tadi.
Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, yang bekerja sebagai kru Sunset Dinner Cruise hilang ketika menaiki bot bersendirian.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.15 petang.
“Hasil siasatan, rakan mangsa memaklumkan dia terlewat hadir tugas dan kapal layar yang patut dinaiki telah berlepas pada jam 4.30 petang membuatkan mangsa cuba mengejar kapal layar itu menggunakan bot kecil.
“Bagaimanapun sebuah bot pemancing yang pulang dari Pulau Bumbun menghala ke Yacht Club telah menemui botnya tanpa orang dan menjumpai sepasang selipar serta topi terapung berhampiran bot berkenaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diatur gerak pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Bagaimanapun SAR ditangguhkan pada jam 8.50 malam ekoran cuaca gelap dan akan disambung semula pagi esok.