Kru kapal kargo hilang dikenal pasti

Siti Nur Aqilla Omar
Januari 11, 2023 12:11 MYT
Kehilangan kapal kargo dari Malaysia, MV Dai Cat 06 yang membawa muatan besi paip masih belum mendapat petunjuk. - Gambar ihsan Maritim Malaysia
JOHOR BAHRU: Kehilangan kapal kargo dari Malaysia, MV Dai Cat 06 yang membawa muatan besi paip masih belum mendapat petunjuk.
Bagaimanapun, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, lima kru kapal iaitu dua warganegara Indonesia dan tiga warga tempatan sudah dikenal pasti.
Kelima-lima kru MV Dai Cat 06 itu ialah Adi,43 sebagai Master (Indonesia), Damai Papane Ole, 57, (ketua jurutera) serta tiga rakyat Malaysia Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, (kletua pegawai), Mohammad Sudeh Sudin, 20, (kelasi) dan Derrent Littor, 22, (kelasi).
"Pihak kami akan terus bekerjasama dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia selepas kapal itu kali terakhir di kesan di perairan negara itu.
"Basarnas akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo membawa muatan 527 besi paip itu yang dianggarkan bernilai RM726,000, selepas dikesan di republik itu pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat.
"Berdasarkan maklumat terakhir itu diterima pada 11 malam semalam, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru daripada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya dimaklumkan, Basarnas Republik Indonesia akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo itu.
"Ini berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal berada dalam perairan Indonesia. Sehingga kini tiada maklumat terkini penemuan kapal berkenaan. Kami masih menunggu maklumat dari pihak MRCC dan Basarnas," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Semalam, kes kehilangan sebuah kapal kargo dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak hilang pada 1 Januari lalu dilaporkan.
Kehilangan kapal diketahui selepas ejen kapal membuat laporan polis pada Isnin, yang mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.
Lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.
#kapal kargo hilang #kapal kargo MV Dai Cat 06 #kru kapal #Maritim Malaysia
;