Kru bot nelayan hilang selepas terjatuh dari bot

Sinar Harian
Mac 20, 2022 02:40 MYT
Pasukan bomba tiba di Jeti Ko Nelayan, selepas menerima maklumat kehilangan seorang lelaki yang disyaki jatuh ke laut. -Foto Sinar Harian
KUDAT: Seorang kru bot nelayan dikhuatiri lemas di laut selepas dipercayai terjatuh dari bot di Jeti Ko Nelayan, di sini pada Sabtu.
Mangsa dikenali sebagai Jayson disedari hilang pada jam 3 petang selepas rakannya tidak menemui mangsa di dalam bot berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8. 20 malam.
Katanya, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak satu kilometer dari BBP Kudat.
"Saksi memaklumkan tidak menemui mangsa di kapal berkenaan dan usaha mencarinya dilakukan bersama rakan yang lain namun gagal.
"Pengadu mengesyaki mangsa terjatuh ke laut sebelum bertindak melaporkannya kepada pihak bomba untuk bantuan mencari dan menyelamat (SAR)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan pada jam 7 pagi Ahad dan sehingga kini mangsa belum ditemui.
"Sebarang maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Jeti Ko Nelayan #kru bot nelayan dikhuatiri lemas #terjatuh dari bot #Ishak Jabas