KRT Pangsapuri Pelangi semarakkan bulan kebangsaan, bersama kibar Jalur Gemilang
Bernama
Ogos 4, 2024 04:45 MYT
Ogos 4, 2024 04:45 MYT
GEORGE TOWN: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Pelangi dekat Lintang Macallum, di sini, mengambil inisiatif memasang bendera di sekeliling kawasan perumahan untuk menyemarakkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan.
Selain menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengibarkan Jalur Gemilang, inisiatif itu juga sebagai usaha menyemai semangat patriotik terutama dalam kalangan penduduk berbilang kaum, bangsa dan agama serta simbolik cintakan negara.
Pengerusi KRT Pangsapuri Pelangi, K. Muniandy berkata, pemasangan bendera itu dibuat setiap tahun sejak penubuhan KRT itu 20 tahun lepas sempena kempen sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM).
"Ini acara wajib yang kita buat setiap tahun dan sambutan diterima amat menggalakkan dalam kalangan penduduk terdiri berbilang kaum, Melayu, Cina dan India. Kami juga akan anjur satu lagi program untuk serahkan Jalur Gemilang di setiap unit rumah.
"Program kita hari ini mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat Insan Pulau Pinang dan wakil dari pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota dan Ahli Parlimen Tanjung yang turut hadir memasang kira-kira 80 Jalur Gemilang di sekitar kawasan Pangsapuri Pelangi," katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.
Muniandy berkata, pangsapuri berkenaan mempunyai lebih kurang 1,500 penduduk yang mendiami 960 unit rumah di lima blok.
Selain kempen kibar Jalur Gemilang, pelbagai aktiviti lain turut diatur pada bulan ini antaranya pertandingan mewarna, gubahan serta kuiz kenegaraan yang dirancang diadakan pada 25 Ogos melibatkan seluruh komuniti pangsapuri.
Sementara itu, penduduk Nazaruddin Nordin, 65, berkata, dia seronok tinggal di kawasan berkenaan kerana bukan sahaja dapat berinteraksi dengan komuniti pelbagai latar belakang dan kaum tetapi juga bersama-sama anjur aktiviti seperti kibar Jalur Gemilang.
"Saya duduk di sini sejak 1995. Di sini, semua penduduknya tinggal dalam suasana harmoni dan tak pernah ada perselisihan meskipun berlainan kaum.
"Jiran saya pun ramai Cina dan kami saling menghormati serta mengambil berat antara satu sama lain. Jika ada aktiviti pun kami akan sama-sama terlibat," katanya. - BERNAMA