KRT mampu jana pendapatan sumbang kepada Ekonomi MADANI - Aaron

Bernama
Ogos 10, 2023 04:15 MYT
Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya mahu menjadikan KRT ini sebagai payung di peringkat komuniti yang dapat menjana ekonomi negara. - Gambar fail/Facebook Aaron Ago Anak Dagang
KUALA LUMPUR: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kini turut memainkan peranan dalam membantu pelaksanaan Ekonomi MADANI melalui beberapa sektor seperti pertanian, agrotani dan pelancongan, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata, walaupun penubuhan jentera KRT dahulu adalah disebabkan oleh faktor keselamatan selepas peristiwa 13 Mei 1969 namun perkara itu berubah mengikut perkembangan semasa apabila komuniti ini mampu menjana pendapatan melalui kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan.
"Walaupun kita kementerian yang amat sedikit menerima peruntukan untuk menjana ekonomi tapi kita ada KRT dan satu daripada aspek kerja mereka ini adalah memberi sedikit sumbangan kepada ekonomi melalui program pertanian, agrotani, pelancongan dan banyak aktiviti lagi. Kalau kita lihat KRT ini menghasilkan produk makanan seperti cili sos yang banyak diusahakan oleh penduduk.
"Saya ada juga pergi melawat ke Langkawi, Kedah dan ada satu KRT di sana amat berjaya apabila mereka memperoleh pendapatan jutaan ringgit dengan bantuan seperti koperasi menjayakan industri pelancongan pengangkutan dan pendapatannya sangat lumayan sekali," katanya pada program Selamat Pagi Malaysia di TV1 pada Khamis.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, pihaknya mahu menjadikan KRT ini sebagai payung di peringkat komuniti yang dapat menjana ekonomi negara melalui bantuan jawatankuasa, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang bebas daripada pimpinan politik.
"Sebab itu dalam perbincangan kita baru-baru ini kita mengarahkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di negeri-negeri memperkasakan KRT ini dan sedang membuat satu kertas kerja yang akan dibawa kepada Kabinet supaya dapat memperkasakan KRT yang lebih membawa keberhasilan kepada mereka dan satu daripadanya adalah ke arah ekonomi," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kementeriannya akan melancarkan program Eksplorasi Rukun Negara bertempat di My Town Shopping Centre, di sini, pada 13 Ogos ini.
"Kementerian Perpaduan baru-baru ini kita bangkitkan kepada Kabinet untuk program melafazkan Rukun Negara ini supaya diadakan kembali dalam majlis-majlis besar dan telah pun diluluskan.
"Saya juga mencadangkan supaya setiap kali majlis pembukaan Dewan Rakyat dilafazkan Rukun Negara kerana saya melihat Rukun Negara ini mukadimah sangat menyentuh hati yang kalau kita sebut dan baca akan membawa ilham dan semangat patriotisme dan perlu diangkat kembali," katanya. - BERNAMA
#13 Mei 1969 #Kawasan Rukun Tetangga #ekonomi madani #perkembangan semasa
;