KRT dibenarkan buat rondaan di zon hijau mulai 20 Jun ini - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
Jun 7, 2020 16:29 MYT
Ismail Sabri menegaskan, kebenaran rondaan akan ditarik serta-merta jika ada mereka tidak mematuhi SOP. - Gambar BERNAMA
Kerajaan membenarkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk menggerakkan rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di zon hijau bermula 20 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu melibatkan 1,079 SRS di seluruh negara dan akan diperluaskan kepada semua KRT dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan Kementerian Perpaduan Negara akan menyediakan peralatan seperti pelitup muka, vest dan lampu suluh untuk anggota rondaan SRS.
"Pun begitu, setiap pasukan rondaan SRS tidak boleh melebihi lima orang dan jika didapati ada di antara mereka yang tidak mematuhi SOP (prosedur operasi standard), Kementerian Perpaduan Negara akan menarik balik kebenaran rondaan serta-merta," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perpaduan Negara akan berbincang dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelaras aktiviti rondaan.
Katanya, semua anggota SRS juga diwajibkan untuk mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk membolehkan penilaian kesihatan kendiri.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #kebenaran #KRT #PDRM #perintah kawalan pergerakan #perumahan #rondaan #SOP #SRS #sukarela
;