Kronologi kes Shafee berhubung pengubahan wang haram RM9.5 juta dan LHDN

Bernama
Oktober 28, 2022 07:57 MYT
Hakim mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Shafee di akhir kes pendakwaan. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Shafee, 70, di akhir kes pendakwaan.
Berikut ialah kronologi kes berkenaan:
13 Sept 2018 - Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada LHDN. Beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin.
1 Okt 2018 - Muhammad Shafee mohon supaya kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
3 Okt 2018 - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah membenarkan permohonan itu.
16 April 2019 - Mahkamah Tinggi menetapkan lapan hari bermula 8 Julai 2019 untuk perbicaraan kes tersebut.
14 Mei 2019 - Permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi mengendalikan kes jenayah di Sydney, Australia ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
21 Jun 2019 - Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Sydney dari 24 Jun hingga 1 Julai 2019.
27 Jun 2019 - Tarikh baharu perbicaraan kes ditetapkan selama 16 hari bermula 9 Mac 2019 oleh Mahkamah Tinggi.
18 Dis 2019 - Mahkamah Tinggi sekali lagi membenarkan permohonan peguam itu untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau ke Perth, Australia atas urusan kerja.
2 Mac 2020 - Tarikh perbicaraan sebelum ini yang ditetapkan pada 9 Mac 2019 dilapangkan bagi memberi laluan kepada kes Najib membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd yang sedang dibicarakan. Muhammad Shafee merupakan peguam utama kes Najib.
22 April 2019 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Muhammad Shafee untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kesnya dan juga untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan.
28 Ogos 2020 - Permohonan semakan kehakiman difailkan Muhammad Shafee untuk menggugurkan pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan dalam perbicaraan kesnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Bahagian Kuasa-Kuasa Khas.
1 Mac 2021 - Permohonan Muhammad Shafee untuk memasukkan afidavit bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kesnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
21 Mei 2021 - Perbicaraan kes Muhammad Shafee bermula di Mahkamah Tinggi.
25 Okt 2021 - Permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkannya ke New York bagi urusan pengajian anak lelakinya dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.
23 Mei 2022 - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Muhammad Shafee bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang tolak permohonan semakan kehakimannya untuk menggugurkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan.
30 Jun 2022 - Permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkannya ke Itali bagi urusan pertukaran sekolah anak perempuannya dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.
5 Sept 2022 - Mahkamah Tinggi sekali lagi membenarkan permohonan peguam itu untuk mendapatkan sementara pasport untuk ke Australia bagi menghadiri mesyuarat perundangan dengan peguam kanan yang berasal dari United Kingdom.
12 Mei 2022 - Pihak pendakwaan menutup kes selepas mengemukakan seramai lapan saksi pada perbicaraan kes berkenaan.
15 Sept 2022 - Pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan di akhir kes pendakwaan dan Hakim Muhammad Jamil menetapkan 28 Okt untuk keputusan.
-- BERNAMA
#mahkamah #Muhammad Shafee Abdullah #ubah wang haram #bebas tuduhan