Kronologi kes kehilangan Cikgu Istiqomah

Bernama
Ogos 12, 2024 09:00 MYT
Istiqomah dilaporkan hilang pada Disember tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang guru Istiqomah Ahmad Rozi, 33 yang dilaporkan hilang di Kota Masai, Johor pada 27 Dis lepas terjawab, apabila ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Dis, adalah milik beliau.
Berikut kronologi kes kehilangan dan pembunuhan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 itu:
26 Dis 2023
- Istiqomah dilaporkan tidak pulang ke rumah.
27 Dis 2023
- Pihak keluarga membuat laporan polis berkaitan kehilangan Istiqomah dan Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan mengenai laporan kehilangan wanita itu yang diterima pada pukul 12.36 tengah malam.
- Kereta dipandu Istiqomah ditemukan di parkir sebuah pasar raya dekat Kota Masai, Johor Bahru berhampiran rumahnya.
31 Dis 2023
- Mayat wanita tanpa kepala, kaki dan tangan ditemukan dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang dekat Alor Gajah, Melaka sekitar pukul 2 petang.
- Mayat ditemukan di tepi jalan raya dan terletak kira-kira 100 meter dari sebuah rumah kosong. Identiti mangsa tidak dikenal pasti
6 Jan 2024
- Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu memaklumkan kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki si mati telah dipotong. Anggota badan yang hilang bagaimanapun tidak ditemukan di kawasan tersebut.
2 Ogos 2024
- Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ibu kepada Istiqomah diambil oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.
5 Ogos 2024
- Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, polis telah menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Perak.
6 Ogos 2024
- Mahkamah Majistret Alor Gajah membenarkan permohonan selama tujuh hari terhadap pasangan berkenaan.
- Siasatan terhadap suspek membawa penemuan sebahagian anggota badan mangsa iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan.
12 Ogos 2024
- Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang dijumpakan dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, pada 31 Dis tahun lepas adalah milik Istiqomah.
- Mahkamah Majistret Alor Gajah membenarkan permohonan sambung reman terhadap suspek lelaki selama tujuh hari lagi.
-- BERNAMA
#Cikgu Istiqomah #pembunuhan kejam #kronologi pembunuhan #fakta kes