Kronologi kejadian tanah runtuh dari 2021 hingga kini
Bernama
Mac 10, 2022 07:00 MYT
Mac 10, 2022 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi kejadian tanah runtuh di seluruh negara sejak tahun 2021 hingga kini.
3 Jan 2021
Seramai 14 peniaga gerai di Kampung Geliga di Hulu Chukai, Kemaman, Terengganu diarah menghentikan operasi selepas berlaku kejadian tanah runtuh di belakang deretan premis perniagaan mereka.
4 Jan 2021
Seorang pekerja kebun sayur warga Bangladesh hilang, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan.
5 Jan 2021
Dua buah rumah di Taman Gambang Damai, Kuantan, Pahang runtuh pada awal pagi dipercayai akibat pergerakan tanah kesan daripada hujan berterusan.
11 Jan 2021
Seramai 42 penduduk yang mendiami 12 rumah di Jalan Bukit Kempas 1/4, Taman Bukit Kempas, Johor Bahru, Johor diarah mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan mereka.
12 Jan 2021
Seorang nenek berusia 63 tahun bersama anak perempuannya bertindak pantas membawa keluar empat cucunya apabila sebahagian rumah mereka di Kampung Garung, Padawan, Sarawak KM 40 Jalan Puncak Borneo ditimbus tanah runtuh.
Dalam kejadian berasingan, dua rumah turut mengalami kerosakan akibat tanah runtuh di Kampung Annah Sadir, Padawan.
15 Jan 2021
Dua daerah di bahagian selatan Sarawak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia terpaksa bergelap selepas dua kejadian tanah runtuh mengakibatkan bekalan elektrik terputus di Bau dan Lundu.
20 Jan 2021
Tanah runtuh di Kilometer 20 Jalan Tamparuli-Ranau, Sabah kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu melibatkan kawasan parkir di Taman Kinabalu manakala Jalan utama di Paitan, Beluran pula mengalami tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan menyebabkan bangunan Jabatan Air Paitan tergelongsor.
17 Feb 2021
Sebanyak lapan rumah dan sebuah premis perniagaan telah musnah akibat runtuhan tebing sungai dekat Dataran Air Muleh, Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan yang membabitkan seramai 97 penduduk di kawasan tersebut.