Kronologi gurauan 'bom' di lapangan terbang tempatan
Astro Awani
Ogos 17, 2016 09:31 MYT
Ogos 17, 2016 09:31 MYT
WALAU sudah diberi amaran berkali-kali oleh pihak berkuasa, masih ada penumpang pesawat komersil yang tidak bertanggungjawab membuat ‘gurauan bom’ sehingga mengganggu jadual penerbangan.
Sehingga Mei lalu, lapan kes kesalahan menyebut perkataan ‘bom’ di lapangan terbang direkodkan pada tahun ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, lapor BH online.
Berikut merupakan antara insiden yang berlaku di beberapa lapangan terbang tempatan setakat ini:
27 Ogos 2014
Lokasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah Subang
Penerbangan: Malindo Air (Subang-Pulau Pinang)
Penerbangan ditangguh selepas seorang penumpang menyebut perkataan 'bom' ketika pemeriksaan. 37 penumpang yang telah menaiki pesawat diarah turun sebagai langkah keselamatan.
3 Disember 2015
Lokasi: KLIA
Penerbangan: Air China (Kuala Lumpur-Beijing)
Seorang broker insurans bergurau dengan anak kapal bahawa bagasinya berisi dua butir bom. Warga China itu dijatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM7,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Sepang.
12 Januari 2016
Lokasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
Penerbangan: Lion Air (Pulau Pinang-Kuala Lumpur)
Seorang wanita warga Indonesia mendakwa ada bom dalam bagasinya ketika pemeriksaan dijalankan. Walau mengaku sekadar bergurau, dia tetap ditahan polis dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
18 Mei 2016
Lokasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah Subang
Penerbangan: Subang-Singapura
Sebuah pesawat komersil berpatah balik selepas menerima panggilan ancaman bom. 30 penumpang dan empat anak kepal disiasat namun tiada bom ditemui.
21 Julai 2016
Lokasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
Penerbangan: Kuching-Kota Bharu
Seorang anggota tentera itu mendakwa membawa bom dalam beg dan memberitahu kakitangan syarikat penerbangan dia akan meletupkan pesawat. Unit pemusnah bom menyiasat dan tiada bom dijumpai. Yang ada cuma pakaian, kek lapis, dan ikan terubuk.
22 Julai 2016
Lokasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
Penerbangan: AirAsia Indonesia (Pulau Pinang-Jakarta)
Pasangan suami isteri warga Indonesia bergurau mempunyai bom di dalam bagasi mereka menyebabkan penerbangan tertangguh dua jam. Mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau dan didenda RM1,000 atas kesalahan tersebut.
14 Ogos 2016
Lokasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
Penerbangan: Kota Kinabalu-Kuala Lumpur
Seorang penjawat awam disiasat polis selepas bergurau bagasinya berisi bom ketika mendaftar masuk. Tiada objek mencurigakan atau bom ditemukan dalam bagasi suspek selepas siasatan dilakukan.
16 Ogos 2016
Lokasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka
Penerbangan: Melaka-Pekanbaru
Penerbangan dari Melaka ke Pekanbaru, Indonesia tertunda selama dua jam selepas pekerja di kaunter jualan tiket mendakwa terdengar perkataan bom dalam perbualan antara sepasang suami isteri.
Apabila pihak polis Melaka Tengah tiba di lapangan terbang untuk membuat pemeriksaan dan tidak menjumpai sebarang bahan berbentuk letupan, penerbangan tersebut dibenarkan untuk berlepas.