Kritik PM: Kenyataan Teng Chang Khim biadab, tidak patriotik - Razali Idris

Bernama
Mei 18, 2021 13:56 MYT
Kritikan Teng Chang Khim yang juga Exco Kerajaan Selangor itu tidak melambangkan keperibadiannya sebagai seorang Exco, ADUN dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan kedamaian sejagat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Selangor daripada DAP yang mengkritik pendirian tegas Malaysia terhadap kezaliman yang dilakukan rejim zionis Israel ke atas Palestin disifatkan sebagai biadab dan tidak patriotik.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris berkata kritikan Teng Chang Khim yang juga Exco Kerajaan Selangor itu tidak melambangkan keperibadiannya sebagai seorang Exco, ADUN dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan kedamaian sejagat.
Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu itu juga meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar menyiasat tindak-tanduk pemimpin DAP itu.
"Justeru, saya mendesak Teng Chang Khim memohon maaf kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia serta menarik balik kenyataan biadab beliau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sabtu lepas, Teng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor didakwa telah memuat naik komen di Facebook yang mengkritik Perutusan Khas Mengenai Palestin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Razali turut membidas Teng yang mendakwa kononnya pendirian Malaysia yang disampaikan Muhyiddin itu bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu COVID-19 dan menegaskan bahawa dakwaan Teng itu tidak berasas.
-- BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #Teng Chang Khim #Razali Idris #exco kerajaan Selangor #Bersatu Terengganu #DAP #IKS Selangor #COVID-19 #Palestin #Zionis
;