Kritik Azmin Ali: PKR minta Suara Keadilan beri penjelasan
Astro Awani
Februari 18, 2014 18:50 MYT
Februari 18, 2014 18:50 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang selama ini sering mendakwa memperjuangkan kebebasan media mengarahkan lidah rasmi parti itu, Suara Keadilan memberi penjelasan berhubung tulisan kolumnis mereka Hishamuddin Rais yang dikatakan memfitnah Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali.
The Malaysian Insider melaporkan arahan itu dikeluarkan minggu lalu secara lisan kepada pengarang Suara Keadilan, tanpa menyatakan tarikh berbuat demikian.
Sementara itu, Hishamuddin Rais ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan pengarang Suara Keadilan diminta memberi penjelasan berhubung tulisannya yang menganalisis kemelut antara Azmin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Saya difahamkan perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor selepas tulisan saya disiarkan.
"Keputusan dibuat supaya pengarang Suara Keadilan memberi penjelasan mengenai tulisan saya yang dikatakan telah memfitnah Azmin," katanya.
Mengulas lanjut, Hishammudin berkata tulisan itu berdasarkan pandangan beliau secara peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak.
"Terpulang kepada pembaca menilai apa yang saya tulis sama ada ia benar atau tidak, tetapi perlu ingat, saya bertanggungjawab terhadap tulisan saya," katanya lagi.
Dalam tulisan itu, Hishamuddin mendakwa Azmin 'mewarisi DNA UMNO' dan ia tidak menyenangkan PAS dan DAP yang merupakan parti komponen Pakatan Rakyat.
Malah dalam tulisan itu juga, Hishamuddin juga menyatakan, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa pemimpin lain juga mempunyai 'DNA UMNO'.
"Mungkin PAS dan DAP juga menyedari dan terpengaruh apabila mengetahui bahawa sosok yang bernama Azmin Ali ini tidak diminati ramai dalam PKR sendiri. Azmin Ali disurahkan sebagai pemilik DNA United Malays National Organisation. Azmin disurahkan sebagai sedang membawa budaya gerombolan ‘lanun Melayu’ ke dalam badan politik PKR," tulis artikel tersebut.
"Jika ini hujahnya - sayugia diingatkan bahawa bukan Azmin Ali seorang sahaja yang memiliki DNA gerombolan Ketuanan Melayu. Ramai pemimpin tertinggi PKR memiliki DNA yang sama. Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution, Johari Andul, Rahim Ghause – adalah watak-watak yang dikenali umum yang memiliki DNA United Malaya National Organisation. Jangan kita lupa bahawa Khalid Ibrahim juga adalah DNA ‘budak ekonomi’ United Malays National Organisation. DNA inilah yang membolehkan si Khalid ini menjadi kaya raya malah berupaya untuk berhutang berjuta ringgit," tulis Hishamuddin dalam artikel tersebut.