Kristy Samunting, graduan ASTiF pertama terima Anugerah Pelajaran Diraja UMS
Mirlen Axtius
Disember 11, 2022 13:06 MYT
Disember 11, 2022 13:06 MYT
KOTA KINABALU: Graduan Ijazah Sarjana Muda Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) muncul sebagai pelajar pertama ASTiF yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24.
Kristy Samunting, 23, tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut dan beranggapan anugerah seperti ini biasanya akan disandang oleh pelajar dalam bidang sains, kejuruteraan, ekonomi, akaun dan sebagainya.
"Saya terharu dan bangga atas kejayaan diri saya sekarang serta sangat bersyukur kepada Tuhan.
"Jurusan saya sebelum ini adalah sains dan pernah bercita-cita untuk menjadi peguam ataupun arkitek. Namun saya menyedari bakat yang ada dalam diri dan mengambil keputusan untuk meneruskannya dalam bidang seni," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Menyedari minat dalam bidang seni muzik sejak kecil, Kristy berasa sangat bersyukur kerana pilihannya untuk terus bergiat dalam dunia seni adalah tepat.
"Saya mahu buktikan kepada orang ramai, walaupun mengambil seni muzik bukan bermakna hanya mampu menjadi artis sahaja, namun ada lebih banyak cabang lagi kita mampu lakukan dalam dunia seni ini," katanya.
Menurutnya lagi, semasa masih berstatus pelajar, dia melakukan kerja separuh masa menjadi guru vokal secara dalam talian.
Pada masa yang sama Kristy tidak lupa untuk melakukan tugasan dan latihan setiap hari kerana program ini memerlukan latihan yang sangat banyak di samping membaca bahan-bahan melalui e-book.
"Selepas ini saya akan ke Singapore kerana telah mendapat tawaran bekerja di Aureus Academy dan akan mula bekerja pada bulan Januari nanti.
"Moto hidup yang saya pegang sehingga ke hari ini ialah, “Do what you love, and love what you do," ujarnya.
Kristy merupakan graduan asal Tambunan, berbangsa Kadazandusun dan anak kelima daripada lima orang adik-beradik.
Untuk rekod, seramai 792 graduan diraikan pada sidang 5 Majlis Konvokesyen UMS ke-24.