Krisis Tun M dan Najib: Pembersihan UMNO bakal lahirkan pemimpin baru - Rahim
Wan Syamsul Amly
April 15, 2015 16:42 MYT
April 15, 2015 16:42 MYT
Krisis bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak dilihat sebagai bibit-bibit awal proses pembersihan UMNO sebelum kelahiran pemimpin baharu yang akan memimpin parti.
Veteran UMNO, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, situasi sama pernah berlaku semasa krisis Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan Dr Mahathir yang menjadi orang nombor satu parti pada masa itu.
"Ia seperti pertandingan di antara dua kumpulan, Kumpulan Dr Mahathir dan Najib. Ia sama dan pernah berlaku pada zaman Anwar dahulu.
"Pergaduhan ini akan berlaku bagi mana-mana parti politik bila sampai masanya, ia merupakan satu teori politik. Pemimpin baharu akan lahir dalam masa terdekat atau pada pemilihan akan datang.
"Pada saatnya sampai, pemimpin baharu itu akan menjadi kekuatan untuk parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Rahim mengajukan pandangan demikian ketika mengulas krisis melibatkan Dr Mahathir dan Najib yang dilihat semakin meruncing akhir-akhir ini.
Krisis dilapor bermula daripada luahan hati Dr Mahathir di blognya chedet.cc awal bulan ini.
Dr Mahathir pada saat itu mempertikai dasar pemerintahan Najib yang banyak memberi wang percuma selain dilihat sering menimbulkan kemarahan orang Melayu.
Jelas Dr Mahathir, dasar itu sekali gus dilihat mengenepikan Dasar Ekonomi Baru dalam usaha mendapatkan sokongan orang Cina.
Dalam pada itu, kata Rahim, proses pembersihan UMNO akan menjadikan parti itu lebih kuat selain melihat kemungkinan 'pemimpin yang kalah' akan menubuhkan parti baharu demi mencari sokongan sendiri.
"Seperti sejarah adanya penubuhan PKR, Semangat 46, PAS dan lain-lain lagi, semuanya hasil kekecewaan dari proses pembersihan parti.
"Ia perkembangan biasa dalam politik mana-mana negara. Semua pemimpin yang tewas akan membawa diri dan membentuk parti baharu bersama pengikut masing-masing," ujarnya.
Ketika ditanya apakah kriteria pemimpin baru yang dikatakan bakal menjadi barisan tertinggi parti, ini katanya: "Tidak kisah siapa yang akan naik, namun orang itu merupakan seorang yang dapat meneruskan kesinambungan UMNO sebagai parti terkuat negara."
Sebelum ini, Dr Mahathir meminta siasatan forensik oleh polis terhadap tuduhan yang dibuat ke atas beberapa pihak yang didakwa terlibat dengan pengurusan wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Dr Mahathir turut bimbang jika perkara itu tidak dilakukan secepat mungkin, Barisan Nasional (BN) mungkin akan kalah dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyifatkan isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir tidak boleh diabaikan kerana ia perkara yang mendapat perhatian ramai.
Ujarnya, kerajaan perlu bertindak segera dengan memberi jawapan terhadap isu yang dibangkitkan bagi mengelak ia menjadi bertambah meruncing.
Bagaimanapun, Khairy optimis BN akan terus menerajui memimpin negara sekali gus menolak ramalan Dr Mahathir bahawa BN akan kalah pada PRU 14 nanti.